Kerajaan Laksana Lima Intervensi Tangani Kenaikan Kos Penerbangan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan lima langkah intervensi bagi membantu syarikat penerbangan tempatan menangani tekanan kos operasi susulan kenaikan harga bahan api global, sekali gus mengurangkan kesan terhadap tambang penerbangan domestik termasuk laluan Semenanjung-Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga bahan api penerbangan merangkumi antara 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi syarikat penerbangan.

Menurutnya, kenaikan harga minyak mentah di pasaran global memberi kesan secara langsung kepada kos operasi syarikat penerbangan dan seterusnya harga tiket yang ditawarkan kepada pengguna.

“Apabila harga bahan api naik mendadak apabila berlaku krisis, Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi meringankan tekanan kewangan yang dihadapi syarikat penerbangan serta mengurangkan impak kepada penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai mekanisme intervensi kerajaan bagi memastikan tambang penerbangan Sabah dan Sarawak-Semenanjung kekal berpatutan ketika konflik Asia Barat dan gangguan Selat Hormuz meningkatkan kos bahan api, operasi serta logistik penerbangan.

Anthony berkata, antara langkah dilaksanakan ialah melanjutkan tempoh kredit bayaran Caj Perkhidmatan Navigasi Udara Laluan (RANS) daripada 30 kepada 60 hari bagi menyokong aliran tunai syarikat penerbangan tempatan.

Katanya, langkah sementara yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026 selama tiga bulan itu terpakai kepada semua syarikat penerbangan tempatan.

Selain itu, CAAM turut melaksanakan pemberian rebat tiket penerbangan sebanyak RM50 bagi laluan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh perjalanan 15 Mei hingga 14 Jun 2026.

“Inisiatif itu memberi manfaat kepada 100,000 penumpang warganegara Malaysia dengan jumlah peruntukan subsidi sebanyak RM5 juta,” katanya.

Menurutnya, MAHB turut melanjutkan tempoh kredit pembayaran bagi caj selain Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) daripada 30 kepada 60 hari bagi mengurangkan tekanan kewangan syarikat penerbangan.

Langkah itu turut disokong menerusi rundingan penyelesaian tunggakan, termasuk pengecualian caj bayaran lewat dan pelarasan pengaturan insentif berkaitan.

Anthony berkata, MAHB juga menangguhkan pelaksanaan kadar caj baharu bagi penggunaan Passenger Boarding Bridge (PBB) dan Check-in Counter (CIC) selama dua bulan kepada syarikat penerbangan Malaysia yang mengendalikan laluan domestik.

Selain itu, pengecualian caj parkir pesawat turut diberikan kepada syarikat penerbangan, khususnya syarikat penerbangan Malaysia, pada masa bersesuaian bagi mengurangkan beban kos operasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan inisiatif FLYsiswa bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar yang menggunakan perkhidmatan penerbangan untuk pulang ke kampung halaman.

Katanya, bantuan subsidi pembelian tiket itu melibatkan pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG), selain diperluaskan pada 2026 kepada pelajar beberapa institusi lain termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan universiti berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan turut meneruskan bantuan subsidi tiket penerbangan sehala bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan utama sepanjang 2026.

“Pelaksanaan inisiatif ini telah ditambah baik apabila bantuan subsidi harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang diberikan untuk harga tiket yang melebihi RM499, tidak termasuk cukai dan fi.

“Penetapan harga maksimum RM499 ini merupakan penurunan daripada kadar sebelum ini iaitu RM599, manakala tempoh pelaksanaan turut dilanjutkan daripada tiga kepada empat hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan utama,” katanya.

Mengulas penetapan tambang domestik, Anthony berkata, syarikat penerbangan mempunyai kebebasan menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang berdasarkan permintaan pasaran susulan keputusan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada 2006.

Katanya, penetapan tambang turut mengambil kira keadaan ekonomi, harga bahan api dan kos operasi syarikat penerbangan.

BBerkaitan

Latest articles