KUALA LUMPUR: RSN Rayer (PH-Jelutong) mendesak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan dokumen rasmi bagi membuktikan dakwaan pembatalan projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, susulan percanggahan kenyataan berhubung status projek berkenaan.
Beliau mempersoalkan kewujudan surat pembatalan yang didakwa dikeluarkan terhadap projek terbabit ketika membahaskan Belanjawan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat.
Rayer turut mempersoalkan tindakan Zahid membuat kenyataan berkenaan yang disifatkannya sebagai melulu sehingga menimbulkan kemarahan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu.
Kontroversi tercetus selepas Zahid pada 26 Oktober lalu mendakwa beberapa projek yang diluluskan tahun ini ditangguhkan atas arahan ketua setiausaha kementeriannya, termasuk pembatalan surat setuju terima (SST) yang sudah diserahkan kepada kontraktor.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan kerajaan hanya menangguhkan pengeluaran SST baharu sehingga bayaran tertunggak kepada kontraktor diselesaikan, dan menegaskan tiada SST yang sudah dikeluarkan dibatalkan.
Zahid pada Selasa pula menegaskan kenyataannya tepat serta bersedia mengemukakan dokumen sebagai bukti arahan rasmi berhubung perkara itu.










