DAP Sasar Pertahan Empat Kerusi, Tambah Tiga Lagi Di Melaka – Anthony Loke

MELAKA: DAP menyasarkan untuk mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu selain berusaha memenangi tiga lagi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, empat kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana, Banda Hilir, Ayer Keroh dan Kesidang yang perlu dipertahankan meskipun berdepan cabaran sengit, khususnya di Ayer Keroh.

Menurutnya, DAP turut meletakkan sasaran untuk merampas tiga kerusi lain iaitu Pengkalan Batu, Duyong dan Gadek bagi meningkatkan kekuatan parti itu dalam DUN Melaka.

“Kita mesti pastikan empat kerusi penyandang kita, Kota Laksamana, Banda Hilir, Ayer Keroh dan Kesidang, keempat-empat kerusi ini mesti kita pertahankan, terutamanya Ayer Keroh yang menghadapi banyak cabaran sekarang.

“Bukan kita menyerah kalah di tiga kerusi lain. Calon-calon kita memang berdepan saingan sengit di Pengkalan Batu, Duyong dan Gadek, tetapi kita mesti lawan dan berusaha. Kalau boleh, kita nak menang ketiga-tiganya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong, di sini malam tadi.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kejayaan memperoleh tujuh kerusi akan membolehkan DAP mempunyai kekuatan lebih besar dalam pentadbiran negeri bersama rakan komponen Pakatan Harapan (PH), iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak memecahkan undi dengan memberikan sokongan kepada parti-parti kecil yang bertanding pada PRN berkenaan.

Katanya, pertandingan tiga atau empat penjuru boleh memberikan kelebihan kepada pihak lawan sekiranya undi penyokong PH berpecah.

“Yang paling penting sekali, jangan pecah undi. Nak kalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bukan mudah.

“Kita tahu kalau kita undi parti-parti baharu ini, mereka mungkin tidak boleh menang, tetapi mereka akan membantu pihak yang menang di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Melaka memberikan sokongan kepada calon PH bagi memastikan gabungan itu mempunyai kekuatan dalam DUN negeri berkenaan.

Mengulas keyakinan BN untuk memenangi sehingga 25 daripada 28 kerusi DUN, Anthony menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai terlalu yakin dan mengingatkan supaya tidak wujud keadaan politik yang dikuasai satu pihak tanpa imbangan.

Katanya, kekuatan PH di Melaka penting bagi memastikan wujud suara berbeza dalam pentadbiran negeri, sekali gus mengelakkan sesebuah gabungan menjadi terlalu dominan.

“Kalau kita benarkan keadaan ini berlaku, ia akan membawa kita kembali kepada zaman dahulu, apabila satu parti terlalu sombong, terlalu kuat dan terlalu berkuasa tanpa imbangan politik, akhirnya mereka akan menjadi bongkak,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan tujuh calon DAP yang diketengahkan sebagai individu berwibawa, selain memuji kesetiaan empat penyandang kerusi parti itu terhadap keputusan kepimpinan.

Beliau mengambil contoh tindakan seorang wakil rakyat DAP yang sanggup melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka selepas parti membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri sebelum ini.

“Ini teladan yang kita mahu, teladan yang setia kepada perjuangan dan setia kepada rakyat. Bukan kerana jawatan, kita tukar parti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia turut mencerminkan kestabilan politik dan pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelaburan syarikat Jepun, Daiso bernilai RM1.2 bilion bagi membangunkan pusat pengedaran global di Pulau Indah, Port Klang serta pelaburan Google di Malaysia membuktikan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya mempertahankan Kerajaan MADANI bagi memastikan kestabilan politik dan momentum pembangunan negara dapat diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles