KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,445 kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Januari hingga Oktober tahun ini atas pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan warga asing.
Jumlah itu meningkat berbanding 3,572 kenderaan yang disita sepanjang tahun lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebanyak 191,676 saman turut dikeluarkan terhadap pemandu warga asing sepanjang 2025, manakala 133,081 saman direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Menurutnya, kesalahan paling ketara membabitkan pemandu warga asing ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 43,687 kes direkodkan pada 2025 dan 21,232 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Selain itu, sebanyak 4,890 kes tiada Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) direkodkan pada 2025, manakala 1,933 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
“Kesalahan tiada Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pula mencatatkan 174 kes pada 2025 dan 85 kes bagi tempoh sama tahun ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme penguatkuasaan terhadap warga asing, termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memandu kenderaan tanpa lesen sah.
Anthony berkata, berdasarkan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), seseorang tidak dibenarkan memandu kenderaan motor di jalan raya tanpa lesen memandu sah bagi kelas kenderaan berkenaan.
Katanya, peruntukan sama turut melarang mana-mana pihak mengambil bekerja atau membenarkan individu tanpa lesen sah memandu kenderaan.
“Kesalahan ini terpakai tanpa mengira kewarganegaraan atau status seseorang, termasuk pemegang kad UNHCR.
“Pemilikan kad UNHCR semata-mata tidak menggantikan keperluan untuk memiliki lesen memandu yang diiktiraf di bawah undang-undang Malaysia,” katanya.
Menurutnya, warga asing yang didapati memandu tanpa lesen sah tidak ditawarkan kompaun seperti warganegara Malaysia, sebaliknya akan dituduh di mahkamah.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM500 hingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Tindakan turut boleh diambil terhadap pemilik kenderaan atau majikan yang membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen sah.
Dalam pada itu, Anthony berkata, JPJ turut melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Beliau berkata, bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang, JPJ akan meneruskan operasi penguatkuasaan, pemeriksaan dokumen pemandu dan kenderaan serta tindakan terhadap kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang.
“JPJ akan terus mempergiat operasi bersasar di lokasi dan sektor berisiko tinggi bagi meningkatkan pematuhan undang-undang oleh pemandu, pemilik kenderaan dan majikan, termasuk yang melibatkan warga asing,” katanya.










