Malaysia Berdepan Ancaman Jadi Laluan Transit Dadah Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia dikenal pasti berdepan ancaman dieksploitasi sebagai salah satu laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedudukan geografi strategik serta jaringan pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas berpotensi dimanfaatkan sindiket jenayah terancang untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Menurutnya, dadah berkenaan berpotensi diedarkan ke pasaran tempatan atau dihantar ke negara destinasi lain.

“Berdasarkan hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia dikenal pasti berdepan ancaman dieksploitasi sebagai salah satu laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah memperkukuh protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan rampasan dadah meningkat enam kali ganda kepada RM108.35 juta sepanjang tujuh bulan pertama 2026.

Mengulas langkah memperkukuh keselamatan di KLIA, Saifuddin berkata, Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu meluluskan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pelaksanaan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan.

Katanya, pelan berkenaan merangkumi 17 syor substantif yang berteraskan tiga aspek utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

Beliau berkata, pelaksanaannya dibahagikan kepada tiga fasa iaitu jangka pendek antara sifar hingga enam bulan, jangka sederhana enam hingga 24 bulan dan jangka panjang melebihi 24 bulan.

“Fasa pertama memberi tumpuan kepada penutupan kelompongan kawalan menggunakan punca kuasa, anggota dan aset sedia ada.

“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk pengetatan tapisan e-Vetting pas keselamatan, penguatkuasaan ujian dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan serta pusingan kerja berkala petugas di zon terhad,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut meningkatkan kehadiran anggota PDRM, mencadangkan penempatan semula Unit K9 Narkotik PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di zon pelepasan khas serta kawasan bagasi berisiko.

Langkah itu turut melibatkan integrasi risikan pengembara menerusi National Immigration Command Centre (NICC).

Bagi fasa kedua, Saifuddin berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu dan perolehan aset strategik berteknologi tinggi.

Antaranya termasuk pembekalan pengimbas bagasi berkuasa tinggi dan pengimbas badan (body scanner), pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI), pengukuhan Unit K9 PDRM serta integrasi data NICC.

Sementara itu, fasa ketiga melibatkan pemodenan dan transformasi sistem keselamatan nasional secara menyeluruh, termasuk penggantian pengimbas bagasi dan badan generasi baharu berteknologi AI di seluruh pintu masuk negara.

Dalam usaha membanteras kegiatan sindiket dadah antarabangsa, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM terus mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket.

“Ini termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat bagi membendung aktiviti penyeludupan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles