44 Peratus Pengundi Cina Mahu PH Kalah, Dakwa Rafizi

MELAKA: Lebih 40 peratus pengundi Cina di Melaka mahu melihat Pakatan Harapan (PH) tewas pada pilihan raya negeri 14 November ini tanpa mengira parti mana yang bakal menang, berdasarkan satu tinjauan yang didakwa dijalankan pengasas Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, tinjauan pada Ogos lalu itu mendapati sebanyak 44 peratus pengundi Cina memberikan jawapan berkenaan, mengatasi pengundi Melayu (43 peratus) dan India (49 peratus).

Menurutnya, dapatan itu menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap PH bukan hanya melibatkan satu kelompok kaum, sebaliknya turut merangkumi pengundi atas pagar daripada pelbagai latar belakang.

“Keputusan ini sebenarnya sangat mengejutkan. Kita tanya satu soalan, adakah anda bersetuju bahawa dalam pilihan raya akan datang, anda hanya ingin melihat PH kalah, tidak kira siapa parti yang menang?

“Sebanyak 43 peratus Melayu kata bersetuju. Cuba teka berapa peratus pengundi Cina yang memberikan jawapan sama? 44 peratus.

“Ini bermaksud pengundi Cina di Melaka lebih tinggi daripada pengundi Melayu yang kata mereka tidak kisah siapa menang, asalkan mahu melihat PH kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Trak Kancil Bersama: Kesidang, di sini malam tadi.

Rafizi berkata, tinjauan itu turut mendapati 49 peratus pengundi India mempunyai pandangan sama, sekali gus menggambarkan wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan pengundi pelbagai kaum terhadap prestasi PH.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan saiz sampel dan kaedah pelaksanaan tinjauan berkenaan dalam ucapannya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, perubahan sentimen pengundi ketika ini berlaku dengan pantas berikutan akses kepada maklumat melalui media sosial seperti TikTok dan YouTube.

Katanya, pengundi kini mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap parti yang diberikan mandat dan tidak lagi semestinya menunggu sehingga tamat penggal untuk membuat penilaian.

Beliau mengambil contoh keputusan pilihan raya di Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya menunjukkan bagaimana pengundi boleh mengubah sokongan apabila parti pemerintah dilihat gagal menunaikan janji.

“Zaman sekarang, pengundi atas pagar sangat cepat berubah. Sebab itu di Malaysia pun sudah berlaku.

“BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, tetapi apabila masuk Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, UMNO kalah besar, kekalahan paling teruk dalam sejarah.

“Pengundi sekarang main TikTok, YouTube. Maklumat berada di hujung jari,” katanya.

Beliau turut mendakwa pengundi daripada pelbagai kaum merasakan sudah memberikan peluang kepada PH dalam dua PRU, namun masih belum berpuas hati dengan prestasi gabungan itu.

Rafizi berkata, keadaan berkenaan perlu difahami dalam menilai perubahan landskap politik negara, khususnya kecenderungan pengundi yang mahu menyampaikan mesej kepada parti pemerintah melalui peti undi.

BBerkaitan

Latest articles