SERKAM: Spekulasi kononnya Datuk Seri Najib Razak bakal membayar denda RM50 juta hari ini dan keluar dari Penjara Kajang ditepis anaknya, Nooryana Najwa, yang menegaskan dakwaan itu tidak sahih.
Nooryana atau lebih mesra disapa Yana berkata, beliau sendiri terkejut dengan dakwaan yang tular di media sosial pagi tadi kerana keluarga tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.
Katanya, beliau turut menghubungi peguam bapanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mendapatkan pengesahan, namun dimaklumkan berita berkenaan tidak benar.
Sehubungan itu, beliau meminta penyokong Najib dan netizen menghentikan penyebaran spekulasi kerana bekas Perdana Menteri itu masih berada di Penjara Kajang.
“Saya terkejut pagi tadi apabila kecoh di media sosial mengenai bayaran denda Datuk Seri Najib kerana keluarga pun belum menerima apa-apa maklumat lagi.
“Berita itu memang tidak sahih,” katanya memetik MalaysiaGazette selepas menyertai kempen rumah ke rumah Pergerakan Puteri UMNO di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, hari ini.
Mengulas kemungkinan spekulasi itu sengaja dimainkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Yana berkata, beliau tidak mengetahui motif pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak terkesan dengan perkembangan itu selepas mendapat pengesahan daripada peguam dan keluarga.
Yana turut memaklumkan bapanya berada dalam keadaan baik, masih mengikuti perkembangan PRN Melaka serta mendoakan kejayaan parti.










