KUALA LUMPUR: Kontroversi penajaan syarikat minuman beralkohol dalam acara sukan Hyrox di negara ini akhirnya menemui penyelesaian apabila Carlsberg memutuskan untuk tidak terlibat dalam penganjuran pertandingan itu pada 10 hingga 13 Disember ini.
Hyrox Malaysia dalam kenyataan menerusi Instagram mengakui pihaknya sepatutnya lebih mengambil kira kepercayaan agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia sebelum menjalinkan kerjasama berkenaan.
“Kami terkhilaf dalam hal ini dan bertanggungjawab atas perkara tersebut. Bersama Carlsberg, kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama ini bagi saingan di Malaysia,” katanya.
Hyrox Malaysia turut menghargai komitmen peserta yang sudah menjalani latihan bagi menghadapi pertandingan kecergasan antarabangsa itu, selain berharap dapat menyambut mereka di garisan permulaan.
Sementara itu, Carlsberg Malaysia menjelaskan, meskipun mempunyai kerjasama serantau dengan Hyrox bagi acara terpilih di Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Vietnam, pihaknya tidak akan terlibat dalam penganjuran di Malaysia.
“Di Carlsberg Malaysia, kami mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan negara ini dan menghormati sensitiviti budaya,” menurut kenyataan syarikat itu menerusi Instagram.
Isu berkenaan tercetus selepas Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari menegaskan kementeriannya tidak akan meluluskan penganjuran Hyrox di Kuala Lumpur bulan depan sekiranya Carlsberg tidak menarik balik penajaan.
Terdahulu, poster promosi acara itu memaparkan Carlsberg sebagai ‘rakan bir rasmi’, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap kesesuaian penglibatan syarikat minuman beralkohol dalam acara sukan di Malaysia.
Taufiq berkata, permohonan penganjuran pertandingan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) masih dalam pertimbangan ketika itu.
Beliau turut menegaskan semua syarikat yang memohon lesen penganjuran acara sukan diwajibkan mengisytiharkan komitmen terhadap pelaksanaan Kod Sukan Selamat.
Kod berkenaan melarang perniagaan berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menganjurkan, menaja, mempromosi atau mengiklankan aktiviti sukan.
Menurutnya, peraturan itu terpakai kepada semua penganjur serta syarikat dalam industri terbabit tanpa mengira jenama mahupun sasaran penonton.










