KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya masyarakat India hanya menerima bantuan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) disifatkan tidak tepat, dengan kerajaan Madani menyalurkan pelbagai bentuk sokongan termasuk bantuan tunai, pembiayaan perniagaan, pendidikan dan pembangunan rumah ibadat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kepada komuniti itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan peruntukan Mitra semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan inisiatif kerajaan yang turut merangkumi program arus perdana.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut membuka akses kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada masyarakat bukan Bumiputera, selain meningkatkan peruntukan Mitra sebanyak RM150 juta khusus bagi usahawan India.
“Ada orang kata bantuan masyarakat India ini Mitra saja? Tak betul, STR ada, AIM ada, Tekun ada.
“Dulu Tekun dan AIM hanya untuk peniaga kecil Bumiputera, tetapi sekarang kita buka (kepada komuniti lain), dan juga tambah RM150 juta Mitra khusus untuk usahawan India,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra sempena sambutan Deepavali.
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan masyarakat India menerusi peruntukan RM50 juta bagi penyelenggaraan serta pembinaan sekolah baharu.
Antara projek yang diberi perhatian ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pamol di Kluang, selain enam sekolah lain yang dilaporkan hampir siap.
Beliau berkata, peningkatan bantuan kerajaan juga dapat dilihat menerusi peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mencecah RM16 bilion pada 2024, jauh lebih tinggi berbanding RM6 bilion bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2018 dan RM8 bilion bagi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada 2022.
“Ada orang kata dulu pun ada. Betul, tetapi dulu berapa? RM6 bilion. Sekarang RM16 bilion kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, penyaluran STR bernilai RM1.1 bilion sempena Deepavali yang bermula hari ini dijangka memberi manfaat kepada lima juta penerima daripada pelbagai kaum, termasuk 630,000 penerima masyarakat India.
Kerajaan juga meluluskan tambahan RM80 juta bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan rumah ibadat, termasuk kuil di seluruh negara.
Kenyataan itu hadir susulan laporan mengenai dakwaan masyarakat India masih terpinggir, khususnya pekerja ladang, meskipun jutaan ringgit diperuntukkan kepada Mitra.
Sebelum ini, penulis Janakey Raman Manickam menerusi buku terbaharunya, Malaysian Indians: Impact and Pain, mempersoalkan keberkesanan agihan bantuan apabila sebahagian pelajar masih berdepan kesukaran membayar yuran pengajian, manakala usahawan pula gagal memperoleh pinjaman perniagaan.
Dakwaan berkenaan turut membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan sasaran dalam masyarakat India.










