Fuziah Kecam Hadi Kaitkan CSA Dengan Dajal, Sifatkan Kenyataan Ekstrem

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mengkritik Perjanjian Persefahaman Bekalan dan Keyakinan (CSA) berdasarkan fakta, bukannya menggunakan istilah keagamaan sehingga mengaitkan perbezaan politik dengan dajal.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menyifatkan kenyataan Abdul Hadi yang melabelkan CSA sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman sebagai ekstrem dan keterlaluan.

Beliau mempersoalkan asas mengaitkan perjanjian politik yang dicapai melalui rundingan dengan sifat dajal, sedangkan CSA merupakan mekanisme persefahaman politik dan bukannya persoalan akidah atau keimanan.

Menurutnya, penggunaan istilah sedemikian boleh membentuk persepsi bahawa pihak yang berbeza pendekatan politik bukan sekadar melakukan kesilapan politik, malah seolah-olah membawa kejahatan dari sudut agama.

Fuziah turut mengingatkan Abdul Hadi supaya mengamalkan prinsip keadilan yang dipetik daripada Surah al-Ma’idah ayat 8, iaitu tidak berlaku tidak adil hanya kerana perbezaan atau kebencian terhadap sesuatu pihak.

Terdahulu, menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk Tempuh Dajjal Sudah Tiba, Abdul Hadi mendakwa CSA menyebabkan kuasa tidak lagi dianggap sebagai amanah untuk semua rakyat, sebaliknya menjadi mekanisme untuk memastikan pihak tertentu terus berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles