CSA Bukan Bermakna Pembangkang Sertai Kerajaan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Perjanjian Kerjasama Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang tidak bermaksud mereka menyertai kerajaan, sebaliknya kekal menjalankan fungsi semak dan imbang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu berlandaskan semangat keterangkuman dan kestabilan politik seperti yang pernah dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021.

Menurutnya, MoU ketika itu dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika negara berdepan krisis COVID-19 dan memerlukan kestabilan untuk memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat.

“Untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan baik, kita kena berani dan bersedia untuk duduk semeja.

“Perkembangan baharu-baru ini juga bergerak atas semangat yang sama seperti tahun 2021. Bukan sesuatu yang tersembunyi, bukan di belakang tabir atau melalui pintu belakang. Semuanya dibuat secara terbuka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pemeteraian CSA itu merupakan langkah pertama dan rundingan masih boleh diteruskan dengan mana-mana Ahli Parlimen yang bersedia memberikan sokongan.

Fahmi berkata, kerajaan setakat ini telah memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang termasuk enam daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, antara komitmen yang terkandung dalam perjanjian itu termasuk beberapa agenda reformasi institusi seperti had tempoh jawatan Perdana Menteri serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang bukan untuk kepentingan peribadi mereka, sebaliknya merupakan wang awam yang disalurkan bagi pelaksanaan projek di kawasan masing-masing.

“CSA juga tidak bermaksud pembangkang sudah masuk kerajaan. Itu tidak betul. Mereka kekal sebagai pembangkang dan masih menjalankan fungsi semak dan imbang.

“Peruntukan yang mereka dapat pun bukan duit untuk Ahli Parlimen. Itu wang awam dan projek awam. Duit itu untuk kawasan dan rakyat,” katanya.

Tambahnya, kejayaan perjanjian seumpama itu tidak seharusnya diukur berdasarkan pihak yang memperoleh kelebihan politik, sebaliknya melalui kestabilan pentadbiran, kesinambungan reformasi dan manfaat yang diterima rakyat.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, autonomi Parlimen turut dikembalikan menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya mewakili kelompok atau kumpulan tertentu.

“Politik boleh berbeza, tetapi kepentingan rakyat mesti didahulukan. Dalam agenda Kerajaan MADANI, pemenang terbesar mestilah rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles