SEREMBAN: Isu peletakan jawatan imam bertauliah dipercayai menjadi punca Masjid Jamek Kuala Klawang, Jelebu, tidak melaksanakan solat Jumaat hari ini, sebaliknya jemaah diminta menunaikan solat Zuhur.
Imam berkenaan dilaporkan meletakkan jawatan Selasa lalu selepas menerima arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya nama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Azrin Khairi, yang dikaitkan dengan kedudukan Undang Luak, dibacakan dalam khutbah Jumaat.
Terdahulu, JHEAINS menerusi surat bertarikh 26 Oktober mengarahkan semua masjid dan surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat supaya menggunakan teks khutbah yang disediakan jabatan itu.
Arahan berkenaan dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di bawah Seksyen 15 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (Pindaan 2024).
Kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 113A(2) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2004), dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Beberapa penduduk tempatan mengesahkan solat Jumaat tidak diadakan di masjid berkenaan hari ini.
Bagaimanapun, pihak media masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada JHEAINS dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan berhubung isu berkenaan.










