BAITULMAQDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir menggesa agensi keselamatan domestik negara itu, Shin Bet supaya segera menangkap pemimpin parti-parti Arab yang disyaki terbabit dalam penerimaan dana dari Qatar.
Desakan itu dibuat susulan dakwaan campur tangan pihak asing dalam pilihan raya Parlimen Israel yang menyaksikan parti-parti majoriti Arab mencatatkan peningkatan sokongan sehingga berpotensi memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan baharu.
Menurut laporan AFP pada Khamis, Ben-Gvir menerusi hantaran di platform X meminta Shin Bet mengarahkan penahanan pemimpin parti Arab yang disyaki mempunyai kaitan dengan dana Qatar.
“Shin Bet mesti mengarahkan penangkapan, seawal pagi ini, pemimpin parti-parti Arab yang disyaki terbabit dengan wang Qatar,” katanya.
Beliau turut menggesa tindakan sama dikenakan terhadap individu lain yang disyaki terbabit dalam perkara itu, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan rangkaian Ikhwanul Muslimin, sekiranya terdapat asas undang-undang untuk penahanan.
Laporan The Jerusalem Post pula menyebut, siasatan Shin Bet dilaksanakan susulan arahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Israel, Hakim Noam Sohlberg berhubung dakwaan pengaruh tidak wajar melalui pembiayaan asing ketika pilihan raya berlangsung.
Dakwaan itu turut membabitkan parti Ra’am pimpinan Mansour Abbas yang didakwa menerima dana dari Qatar, selain kemungkinan wujud saluran pembiayaan asing lain.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih belum dibuktikan.
Menurut laporan Dawn pada Jumaat, parti Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu turut mendakwa berlaku penipuan undi dan campur tangan asing, namun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut.
Pilihan raya pada Selasa lalu menyaksikan blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi, manakala blok pembangkang pimpinan bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot memperoleh 48 kerusi.
Dua gabungan utama parti Arab, Joint List dan Ra’am pula dijangka memperoleh keseluruhan 19 kerusi, sekali gus berpotensi menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan kerana tiada blok berjaya memperoleh majoriti mudah 61 kerusi.
Sementara itu, pemimpin Ra’am, Mansour Abbas menafikan partinya mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan berkenaan.
Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai kempen menghasut dan usaha menjejaskan legitimasi parti Arab.
“Kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perkara itu,” katanya seperti dipetik laporan berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari turut menolak dakwaan negaranya campur tangan dalam pilihan raya Israel.
Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Israel memaklumkan tiada asas untuk mendakwa wujud penyelewengan sistematik yang menjejaskan integriti pilihan raya.
Pemangku Ketua Pengarah suruhanjaya itu, Dean Livne menyifatkan dakwaan berhubung masalah meluas dalam proses pengundian sebagai tidak berasas.
Ketua pembangkang, Eisenkot pula menyokong siasatan dijalankan tetapi memberi amaran supaya isu berkenaan tidak dimanipulasi bagi mencetuskan kekacauan politik atau melengahkan proses pembentukan kerajaan baharu.










