Dakwa SB terlibat mafia korporat: Pemilik akaun Facebook dilapor ke polis

SUNGAI SIPUT – Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrsegar, membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa mengaitkan Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mafia korporat isnin lalu.

Laporan itu dibuat selepas beliau mengesan hantaran yang dipercayai dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Zlie Žlie kira-kira jam 10 pagi tadi.

Shandrsegar berpandangan, hantaran itu merupakan tuduhan serius terhadap Cawangan Khas PDRM kerana menggambarkan organisasi berkenaan seolah-olah mempunyai hubungan dengan kegiatan mafia korporat serta terlibat dalam usaha merosakkan negara.

“Dakwaan sedemikian menimbulkan kebimbangan kerana berpotensi mencemarkan imej, integriti, kredibiliti dan reputasi Cawangan Khas sebagai organisasi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan serta kepentingan negara.

“Selain itu, penyebaran kenyataan berkenaan tanpa bukti jelas boleh menimbulkan persepsi negatif, salah faham dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap pasukan beruniform tersebut.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput, Perak bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat pemilik akaun Facebook terbabit, termasuk mengenal pasti identiti sebenar pengendali akaun serta meneliti kandungan dan konteks hantaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan itu perlu bagi mengelakkan dakwaan berkenaan menjejaskan keyakinan awam terhadap PDRM serta imej dan integriti Cawangan Khas.

BBerkaitan

Latest articles