BN Mahu Pertikaian Kerusi Dengan MCA Selesai Sebelum Penamaan Calon

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menetapkan sasaran menyelesaikan pertikaian dengan MCA sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini, bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya itu tidak terus dibayangi kemelut dalaman.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata rundingan bersama Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sudah berlangsung bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, BN memilih pendekatan perbincangan bagi menyelesaikan perbezaan pendapat, bukannya membiarkan perselisihan itu berlarutan secara terbuka.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi, hari ini.

Zambry turut mengesahkan BN yakin kemelut berkenaan dapat ditangani sebelum hari penamaan calon, meskipun belum mendedahkan butiran penyelesaian yang dicapai.

“Ya, kita ‘confirm’ selesai sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Pertikaian itu tercetus selepas MCA membantah pengumuman calon BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Wee sebelum ini menegaskan MCA tidak menerima pengumuman calon yang dibuat tanpa rundingan, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diserahkan kepada parti lain.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan sebagai calon BN, iaitu Datuk Ngwe Hee Sem di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

Bagaimanapun, Zambry tidak menjelaskan sama ada penyelesaian itu akan membabitkan perubahan calon atau pembahagian kerusi, sebaliknya memaklumkan pengumuman lanjut akan dibuat kemudian.

BBerkaitan

Latest articles