MELAKA: Malaysia menolak dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang mengaitkan 21 syarikat mempunyai hubungan dengan Malaysia dengan kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata hasil pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran berkenaan bukan berpunca dari ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya merebak dari kawasan lain.
Beliau menegaskan syarikat perladangan Malaysia perlu mematuhi piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka, termasuk ketetapan Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Katanya, pemantauan MPOB tidak menunjukkan kebakaran yang dikesan bermula di kawasan ladang milik syarikat Malaysia, sekali gus menolak dakwaan yang mengaitkan syarikat berkenaan dengan kejadian itu.
Noraini berkata demikian ketika mengulas laporan NGO Indonesia yang mendakwa 21 syarikat mempunyai kaitan dengan Malaysia terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan, di sini hari ini.










