KOTA KINABALU: PAS Sabah mendesak kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pembatalan projek pembangunan di Sabah dan Sarawak, susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, pembatalan projek berkenaan perlu dipandang serius sekiranya dilakukan secara tidak adil tanpa alasan yang munasabah.
Menurutnya, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persoalan mengenai wujudnya unsur diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak yang berhak menikmati pembangunan secara adil dan saksama.
“Sabah dan Sarawak bukan negeri kelas kedua dalam Persekutuan Malaysia. Rakyat Borneo berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, bukan terus dibebani jurang pembangunan sedangkan harapan mereka berulang kali dipertaruhkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengenal pasti punca pembatalan projek, proses membuat keputusan serta mendedahkan individu atau pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, rakyat berhak mengetahui pihak yang membuat keputusan berkenaan serta alasan di sebalik pembatalan projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk.
“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan birokrasi. Jika pembatalan dibuat atas faktor teknikal atau kewangan, jelaskan secara terbuka.
“Jika wujud unsur pilih kasih, diskriminasi atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, pembangunan merupakan tanggungjawab dan amanah kerajaan kepada rakyat, justeru setiap keputusan membatalkan projek perlu mengambil kira kesannya terhadap kehidupan masyarakat.
Menurutnya, pembatalan projek boleh memberi kesan langsung kepada penyediaan kemudahan asas serta masa depan generasi akan datang.
Beliau menegaskan, tuntutan PAS Sabah itu bukan berasaskan sentimen kenegerian, sebaliknya berkaitan prinsip keadilan dalam memastikan hak pembangunan rakyat Sabah dan Sarawak tidak diketepikan.
“Jangan biarkan Sabah dan Sarawak hanya diingati ketika diperlukan, tetapi diketepikan ketika hak pembangunan diputuskan,” katanya.
Sehubungan itu, PAS Sabah menggesa kerajaan memberikan penjelasan rasmi, mendedahkan fakta sebenar dan memastikan projek yang penting kepada rakyat tidak dibatalkan sewenang-wenangnya.










