Tuju Dibangunkan Untuk Pengguna Lebuh Raya Bertol, Bukan Saingi Waze

KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi Tuju dibangunkan khusus untuk menambah baik perkhidmatan pengurusan trafik dan keselamatan pengguna lebuh raya bertol, bukannya untuk bersaing secara langsung dengan aplikasi Waze.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Hasni Mohammad berkata, skop Tuju ketika ini tertumpu kepada penyediaan maklumat trafik, lokasi kawasan rehat, kamera penguatkuasaan serta akses kepada bantuan kecemasan.

Menurutnya, aplikasi itu merupakan perkhidmatan tambahan bagi pengguna lebuh raya bertol dan sedang ditambah baik bagi meningkatkan keberkesanannya.

“Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah baik pusat pengurusan trafik kita,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini, semalam.

Hasni berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat berkaitan keadaan trafik, susur keluar dan kemudahan sepanjang perjalanan melalui aplikasi berkenaan.

“Jika anda terkandas di lebuh raya, anda boleh menggunakan Tuju untuk mencari nombor telefon pihak yang boleh dihubungi serta bantuan yang tersedia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkannya untuk menaik taraf aplikasi berkenaan.

Pada 20 Oktober lalu, Anwar menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada Tuju atas kebimbangan berkaitan keselamatan negara dan maklumat pergerakan pengguna, susulan kaitan Waze dengan Israel.

Bagaimanapun, usaha mempromosikan Tuju mencetuskan perbandingan dengan aplikasi navigasi sedia ada, selain menerima aduan pengguna berhubung gangguan teknikal dan kekurangan dari segi navigasi susulan peningkatan jumlah pengguna.

Pada 23 Oktober lalu, Anwar mengakui Tuju masih belum lengkap sepenuhnya, namun menegaskan kebimbangan kerajaan berkaitan keselamatan negara perlu diberikan perhatian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo sebelum ini turut menjelaskan bahawa penggunaan Tuju tidak diwajibkan dan aplikasi lain, termasuk Google Maps, masih boleh digunakan.

Fokus keselamatan lebuh raya

Dalam pada itu, Hasni berkata, bidang kuasa LLM ketika ini terhad kepada lebuh raya bertol, dengan usaha penambahbaikan memberi tumpuan kepada pemantauan trafik masa nyata dan keselamatan jalan raya.

Beliau mengakui pusat pengurusan trafik LLM masih memerlukan penaiktarafan kerana tidak semua lebuh raya menyediakan maklumat trafik kepada agensi berkenaan.

Katanya, peluasan liputan Tuju ke jalan persekutuan, jalan perbandaran dan jalan kampung tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana bergantung kepada keupayaan teknikal serta pembiayaan.

“Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, ya, kita boleh meluaskannya ke jalan persekutuan, jalan perbandaran dan jalan kampung.

“Tetapi buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada lebuh raya bertol,” katanya.

Hasni turut membangkitkan keperluan memastikan fungsi sebenar Tuju diterangkan dengan jelas ketika taklimat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), khususnya selepas aplikasi itu dikaitkan dengan isu keselamatan negara.

Beliau berkata, dirinya tidak menghadiri taklimat pada 20 Oktober lalu, namun telah dimaklumkan mengenai minit mesyuarat berkenaan.

“Jika taklimat yang disampaikan oleh LLM kepada MKN itu mengelirukan, ia sepatutnya tidak berlaku.

“Jika perkara itu benar-benar berlaku, saya berpendapat ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Menurutnya, beliau perlu memastikan sama ada LLM dan syarikat pembangun aplikasi itu, Prosignal Consortium Sdn Bhd, telah menjelaskan fungsi Tuju dengan tepat ketika taklimat berkenaan.

Kenyataan itu menyusuli permintaan Jemaah Menteri supaya LLM dan Prosignal memberikan penjelasan mengenai masalah teknikal aplikasi berkenaan, termasuk punca gangguan serta langkah penambahbaikan yang dicadangkan.

Hasni berkata, LLM bersedia memberikan penjelasan sekiranya diminta secara rasmi.

Mengulas persoalan mengenai pelantikan Prosignal bagi membangunkan Tuju, Hasni menegaskan keputusan itu dibuat secara kolektif oleh lembaga pengarah LLM dan bukannya keputusan bekas pengerusinya, Abdul Rashid Asari, secara bersendirian.

Rashid sebelum ini memaklumkan bahawa beliau mencadangkan inisiatif berkenaan ketika memegang jawatan pengerusi LLM sebelum menjemput Prosignal melaksanakan projek itu selepas mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Beliau turut mengesahkan projek berkenaan tidak diberikan melalui tender terbuka, namun menafikan hubungan politik mempengaruhi penglibatan syarikat itu.

Menurut Hasni, cadangan berkenaan dibentangkan ketika Rashid menjadi pengerusi sebelum dipersetujui lembaga pengarah.

“Maksud saya, idea itu dibentangkan semasa beliau menjadi pengerusi dan dipersetujui oleh lembaga pengarah.

“Ini bermakna ramai pihak terlibat. Ia bukan keputusan beliau seorang sahaja,” katanya.

Hasni berkata, pada masa keputusan dibuat, Rashid hanya mengemukakan cadangan bagi manfaat pengguna jalan raya dan tidak lagi memegang jawatan pengerusi LLM ketika isu penglibatan beliau dengan Prosignal dibangkitkan.

Beliau turut menjelaskan pemilihan Prosignal tanpa tender terbuka dibuat kerana projek itu tidak menggunakan pembiayaan kerajaan.

“Tuju dibiayai oleh pelabur dalam projek itu, sama ada melalui dana dalaman atau pinjaman.

“Oleh itu, jika ada pihak yang bertanya mengapa ia tidak dianugerahkan melalui tender terbuka, jawapannya ialah kerana tiada dana kerajaan yang terlibat.

“Selain itu, LLM sentiasa mematuhi peraturan kewangan,” katanya.

LLM menandatangani memorandum persefahaman awal dengan Prosignal pada Mei 2022, ketika Rashid menjadi pengerusi, bagi inisiatif Lebuh Raya Pintar yang melibatkan pembangunan sistem pengurusan lebuh raya digital.

Hasni, yang menggantikan Rashid pada Ogos 2022, mengesahkan perjanjian awal itu dimeterai sebelum pelantikannya. Beliau turut merujuk kepada perjanjian susulan yang ditandatangani menjelang penghujung tahun lalu bagi menambah baik perkhidmatan aplikasi berkenaan.

Mengenai pulangan pelaburan Tuju kepada LLM, Hasni berkata, beliau perlu merujuk kepada unjuran kewangan projek berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan LLM mempunyai komitmen kewangan pada masa hadapan, bergantung kepada pelan perniagaan dan kos tambahan yang diperlukan untuk menaik taraf aplikasi itu.

BBerkaitan

Latest articles