Penyumbang Politik Sah Tidak Wajar Dikenakan Tindakan Balas

KUALA LUMPUR: Individu atau pihak yang membuat sumbangan politik secara sah tidak sepatutnya dikenakan tindakan balas atau dilayan secara tidak adil semata-mata kerana sumbangan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, prinsip itu sedang dipertimbangkan dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Beliau berkata, bagaimanapun, prinsip berkenaan tidak bermaksud penyumbang diberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang sekiranya terdapat alasan yang sah untuk berbuat demikian.

“Sekiranya terdapat sebab yang sah dan bebas, contohnya berkaitan ketidakpatuhan cukai, pelanggaran syarat lesen, kesalahan jenayah atau isu dalam proses perolehan Kerajaan, tindakan sewajarnya tetap boleh diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme dalam RUU Pendanaan Politik bagi melindungi penyumbang kepada semua parti termasuk pembangkang daripada tindakan balas melalui audit cukai, semakan lesen atau kontrak kerajaan susulan sumbangan politik yang dibuat secara sah.

Azalina berkata, kerajaan kekal komited memperkenalkan RUU berkenaan seperti digariskan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

Menurutnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) mengambil alih pelaksanaan kajian sejak Mei 2023, manakala skop dasar RUU itu dipersetujui untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) berkaitan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 8 September 2023.

Katanya, RUU berkenaan bertujuan mewujudkan kerangka pendanaan politik yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.

Beliau berkata, kajian mendapati 88.4 peratus daripada 3,422 responden menyokong keperluan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik, selain maklum balas melalui sesi libat urus bersama 1,544 pihak berkepentingan.

Azalina berkata, BHEUU turut menganjurkan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 pada 8 September lalu dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) bagi membentangkan dapatan kajian serta mendapatkan pandangan lanjut pihak berkepentingan.

Menurutnya, beberapa syor dasar telah disediakan untuk dipertimbangkan dalam penggubalan RUU itu, termasuk skop pemakaian undang-undang, sumber dan had sumbangan, mekanisme penerimaan dana, pelaporan, audit, ketelusan, kesalahan serta hukuman.

Beliau menegaskan, pemisahan yang jelas perlu diwujudkan antara sumbangan politik yang dibuat secara sah dengan fungsi kerajaan dalam melaksanakan audit, pengawalseliaan, penguatkuasaan dan perolehan.

“Cadangan kewajipan pelaporan berkala, audit dan pendedahan maklumat kepada umum, berserta kesalahan dan penalti yang bersesuaian, akan membantu memastikan semua pihak tertakluk kepada peraturan yang sama dan dapat dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran,” katanya.

Tambah beliau, syor dasar yang dikenal pasti akan dibentangkan kepada JKPK dalam masa terdekat untuk penelitian dan mendapatkan maklum balas lanjut sebelum dimuktamadkan bagi pertimbangan Jemaah Menteri.

BBerkaitan

Latest articles