Takiyuddin: PN Masih Sah Beroperasi, Cabar Sebarang Cubaan Halang Perintah Mahkamah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) boleh meneruskan operasi dan aktiviti politik seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menggantung pelaksanaan keputusan penggantungan serta pembatalan pendaftaran gabungan itu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau menegaskan, pemfailan rayuan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Menteri Dalam Negeri tidak secara automatik membatalkan atau menggantung kuat kuasa perintah mahkamah berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan nasihat panel peguam PN, Kaedah 13 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 memperuntukkan bahawa sesuatu rayuan tidak dengan sendirinya menggantung pelaksanaan keputusan yang dirayu, melainkan diarahkan sebaliknya oleh mahkamah.

Katanya, setakat ini tiada perintah sedemikian dikeluarkan, justeru kedudukan PN perlu berlandaskan keputusan Mahkamah Tinggi dan bukannya keputusan RoS yang sedang dicabar.

“Perintah mahkamah itu jelas. Notis, perintah penggantungan dan perintah pembatalan semuanya telah digantung pelaksanaannya oleh mahkamah.

“Atas dasar itu, PN kekal sebagai gabungan atau parti politik yang berfungsi seperti biasa,” katanya dalam surat menjawab persoalan yang dibangkitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berhubung kesahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada malam Ahad.

Takiyuddin menjelaskan, perintah Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober bukan sahaja menggantung pelaksanaan penggantungan PN bertarikh 23 September, malah turut menghalang tindakan lanjut di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 sehingga permohonan semakan kehakiman gabungan itu diputuskan.

Perintah itu juga menghalang RoS daripada membatalkan pendaftaran PN atau melaksanakan sebarang pembatalan sehingga kes semakan kehakiman berkenaan selesai.

Sebelum ini, Azmin mempersoalkan implikasi undang-undang mesyuarat tergempar itu serta kesahan sebarang keputusan yang bakal dibuat, dengan berhujah bahawa perintah penangguhan mahkamah tidak semestinya bermaksud pendaftaran PN dipulihkan secara automatik.

Berhubung mesyuarat berkenaan, Takiyuddin berkata wakil Bersatu masih dijemput hadir dan berhak mengambil bahagian, menyuarakan pandangan serta mengundi.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya wakil Bersatu memilih untuk tidak hadir, keputusan itu merupakan hak parti berkenaan dan akan direkodkan sewajarnya.

Dalam masa sama, Takiyuddin meminta Bersatu mengemukakan dalam tempoh tiga hari salinan surat RoS bertarikh 12 Ogos yang didakwa mengesahkan status Bersatu sebagai parti komponen PN yang sah, selain salinan aduan Bersatu kepada RoS berserta dokumen berkaitan.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan menghalang atau menyekat pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi akan dibawa kepada perhatian mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles