PN Tempelak BERSATU, Persoal Kesetiaan Dalam Gabungan

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka mempersoalkan kesetiaan BERSATU terhadap gabungan itu selepas parti berkenaan mempertikaikan keabsahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN, malam ini.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan tindakan BERSATU sebagai memalukan, selain menegaskan parti itu tidak sepatutnya mengambil alih peranan mahkamah dalam menentukan kesahan aktiviti gabungan berkenaan.

“Kalau tak panggil, kata (PN) tak panggil BERSATU sertai mesyuarat. Bila dipanggil, macam-macam pula alasan. Setiausaha Agung BERSATU tidak boleh ambil alih tugas mahkamah, BERSATU bukannya mahkamah,” katanya pada sidang media, malam ini.

Beliau menegaskan PN akan terus menjalankan aktiviti dan menggunakan logonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selagi tiada keputusan mahkamah yang menghalangnya.

Kontroversi itu tercetus selepas Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mempersoalkan kesahan mesyuarat berkenaan susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Selasa lalu.

Azmin berhujah, perintah penggantungan pelaksanaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak secara automatik memulihkan pendaftaran PN, lebih-lebih lagi apabila rayuan terhadap keputusan itu telah difailkan.

Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut mempersoalkan kesediaan BERSATU untuk terus kekal dalam gabungan berkenaan.

“Selepas apa yang berlaku sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke BERSATU dengan PN?” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan BERSATU tetap dialu-alukan menghadiri mesyuarat itu, termasuk dengan menghantar seorang wakil.

BBerkaitan

Latest articles