Tak Mahu Hadir Mesyuarat PN? Wan Saiful Desak BERSATU Keluar Gabungan

KUALA LUMPUR: BERSATU diminta keluar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak lagi bersedia menyertai aktiviti gabungan itu, susulan pertikaian mengenai kesahihan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata BERSATU sepatutnya mengambil langkah keluar daripada gabungan itu jika enggan menghadiri mesyuarat yang dianjurkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum menghadiri mesyuarat tergempar MT PN di Ibu Pejabat PAS, di sini, malam ini.

“Saya rasa kalau kenyataan tak nak datang, keluarlah lagi senang. Namun, inilah ceritanya, kita tunggulah dan tengok macam mana,” katanya.

Kenyataan itu menyusul tindakan BERSATU mempersoalkan keabsahan mesyuarat berkenaan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN, Selasa lalu.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilaporkan berkata, perintah penggantungan pelaksanaan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak bermakna pendaftaran PN dipulihkan secara automatik.

Mengulas perkara itu, Wan Saiful berkata, keputusan sama ada mesyuarat berkenaan diteruskan atau sebaliknya terletak di tangan kepemimpinan tertinggi PN.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, menegaskan pihaknya berpandangan mesyuarat berkenaan boleh diteruskan, meskipun BERSATU mempersoalkan keabsahannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, BERSATU perlu menjelaskan asas kepada bantahan berkenaan.

“Kamu kena tanya BERSATU kerana pada kami boleh untuk menganjurkan mesyuarat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles