ZTPP: KPDN Guna Tiga Petunjuk Prestasi Nilai Pematuhan Peniaga

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggunakan tiga petunjuk prestasi utama bagi menilai keberkesanan Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP), dengan aspek pematuhan peniaga menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan penilaian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, dua lagi aspek penilaian ialah kebersihan dan keceriaan premis serta promosi program oleh peniaga.

Menurutnya, aspek kebersihan dan keceriaan diberikan pemberat 25 peratus, manakala promosi program menyumbang lima peratus.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai petunjuk prestasi bagi menilai keberkesanan ZTPP dalam mengurangkan aduan harga keterlaluan.

Fuziah berkata, program berkenaan bertujuan membudayakan pematuhan kendiri dalam kalangan peniaga, khususnya berkaitan penandaan harga, ketelusan urus niaga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan.

Menurutnya, pelaksanaan ZTPP pada 2026 memfokuskan kepada 16 kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara.

Beliau menjelaskan, aspek pematuhan merangkumi penandaan harga barangan, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan serta ketelusan transaksi jualan, termasuk penyediaan resit pembelian.

Sementara itu, aspek kebersihan dan keceriaan melibatkan kebersihan premis serta persekitaran, susun atur premis dan kursus pengendalian makanan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Menjawab soalan tambahan Hassan mengenai cadangan memperluas program ke kawasan pelancongan luar bandar, termasuk Balik Pulau, Fuziah berkata, pemilihan lokasi dibuat berdasarkan kawasan tumpuan orang ramai atau hotspot.

Menurutnya, program berkaitan pematuhan peniaga itu bukan sahaja melibatkan kawasan pelancongan, malah turut merangkumi pasar dan persinggahan di kawasan rehat dan rawat (R&R).

Beliau berkata, KPDN merancang memperluas pelaksanaan program berkenaan ke medan selera pada 2027, dengan 16 lokasi dikenal pasti.

“Sekiranya Yang Berhormat Baling merasakan ada lokasi dalam kategori R&R, pasar, medan selera ataupun tempat pelancongan yang sesuai dalam kawasan Yang Berhormat, boleh sarankan kepada kami.

“Kita boleh lihat kerana pemilihan ini juga berdasarkan cadangan daripada KPDN negeri,” katanya.

Fuziah turut menggalakkan Hassan mengemukakan cadangan lokasi bersesuaian untuk dipertimbangkan kementerian bagi memastikan program itu dapat diperluas ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

BBerkaitan

Latest articles