KUALA BERANG: Penemuan mayat bayi dalam keadaan tanpa kepala dan satu tangan di dalam longkang di kawasan perumahan Kampung Padang Setengge, petang semalam, mengundang perhatian.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu daripada orang awam pada jam 6.52 petang semalam.
Menurutnya, mayat bayi itu ditemukan seorang wanita ketika membasuh pakaian di belakang rumahnya.
Polis kemudian mendapatkan bantuan Unit Forensik D10 dan unit anjing pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu bagi membantu siasatan serta mengumpul bukti di lokasi kejadian.
Setakat ini, jantina dan kewarganegaraan bayi berkenaan belum dikenal pasti, manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.










