Malaysia Sasar Lahir 60,000 Tenaga Kerja Mahir Semikonduktor Menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pembangunan 60,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang semikonduktor menjelang 2030 bagi menyokong peralihan industri tempatan kepada aktiviti bernilai tambah tinggi.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sehingga Jun 2026, seramai 21,391 bakat telah dilatih menerusi pelbagai program pembangunan oleh institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan teknikal.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan memastikan pembangunan bakat tempatan seiring dengan keperluan industri, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh keupayaan syarikat tempatan menguasai teknologi sendiri.

“Kerajaan akan memastikan kejayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) melalui beberapa mekanisme utama yang saling menyokong, termasuk insentif cukai kepada syarikat yang membangunkan harta intelek (IP) tempatan serta memudahkan akses kepada modal teroka bagi syarikat permulaan semikonduktor,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menjelaskan langkah memastikan peningkatan produktiviti hasil penggunaan kecerdasan buatan (AI) dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan gaji dan pendapatan rakyat, bukan sekadar meningkatkan keuntungan syarikat atau mengurangkan keperluan tenaga kerja.

Menurut Johari, MITI komited memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global menerusi pelaksanaan NSS.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia ketika ini masih tertumpu kepada aktiviti tradisional di peringkat akhir rantaian semikonduktor, seperti pengujian dan pembungkusan cip, yang mempunyai nilai tambah lebih rendah serta bergantung kepada teknologi dan IP syarikat multinasional.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menetapkan peralihan strategik daripada konsep “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia”, iaitu bukan sekadar menjadi lokasi pengeluaran, sebaliknya membangunkan teknologi, kepakaran, IP dan syarikat teknologi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Johari berkata, NSS dilaksanakan melalui tiga fasa, merangkumi penciptaan IP tempatan khususnya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), pembangunan keupayaan reka bentuk dan fabrikasi cip termaju serta pembentukan firma reka bentuk semikonduktor dan pengeluaran peralatan pembuatan bertaraf dunia.

Menurutnya, kerajaan turut menyasarkan pembangunan 10 syarikat peneraju tempatan berpendapatan tahunan antara RM1 bilion hingga AS$1 bilion (RM4.7 bilion), selain 100 syarikat berkaitan semikonduktor yang berpotensi mencapai pendapatan tahunan menghampiri RM1 bilion.

“Setakat ini, 13 syarikat tempatan telah dikenal pasti sebagai calon peneraju dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif MyChipStart dan SemiconStart turut diperkenalkan bagi menyokong pembangunan syarikat tempatan, khususnya dalam aspek reka bentuk cip, inovasi dan pengkomersialan teknologi.

Selain itu, kerajaan menyokong penubuhan Malaysia Advanced Packaging Consortium (MAPC), iaitu kerjasama strategik lima syarikat tempatan untuk membangunkan teknologi, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dalam bidang pembungkusan termaju.

Johari berkata, usaha mengekalkan bakat tempatan turut diberi perhatian melalui pengenalan program latihan dan laluan kerjaya yang menarik bagi mengurangkan penghijrahan tenaga mahir, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri.

Beliau berkata, pelaksanaan NSS dijangka membantu Malaysia beralih daripada sekadar menjadi lokasi pengeluaran dan pengujian cip kepada negara yang berupaya mereka bentuk cip, memiliki IP sendiri serta membangunkan peralatan semikonduktor.

Bagaimanapun, jawapan bertulis itu menghuraikan strategi pembangunan industri semikonduktor dan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tanpa memperincikan mekanisme khusus untuk memastikan peningkatan produktiviti akibat penggunaan AI diterjemahkan secara langsung kepada kenaikan gaji atau pendapatan pekerja.

BBerkaitan

Latest articles