KDN Jawab Lain Daripada Ditanya, Jangan Ingat Rakyat Bodoh – Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyelar jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang yang didakwa tidak menjawab persoalan sebenar dibangkitkannya di Parlimen.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Lim menyifatkan jawapan berkenaan sebagai sambil lewa dan mendakwa ia seolah-olah cuba mengelak daripada memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakan.

“Jangan ingat rakyat bodoh!

“Parlimen bukan tempat pegawai bermain kata-kata untuk lari daripada tanggungjawab!” katanya.

Beliau turut mendakwa jawapan sedemikian menghina rakyat, mencalar maruah Parlimen dan memalukan negara.

Reaksi itu menyusul selepas Lim menerima jawapan bertulis KDN berhubung persoalan mengenai tindakan polis dalam beberapa insiden membabitkan Jalur Gemilang, termasuk isu layanan terhadap individu yang disiasat.

Dalam jawapan berkenaan, KDN menjelaskan bahawa siasatan polis dibuat berdasarkan laporan yang diterima serta berlandaskan prinsip bahawa semua individu adalah sama di sisi undang-undang, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik.

KDN turut memberikan penjelasan mengenai insiden bendera terbalik di pejabat MCA Perak pada 28 Ogos 2026, selain isu Jalur Gemilang yang dipasang tanpa simbol bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, Terengganu, serta grafik bendera yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga memaparkan bintang berbucu 18.

Menurut jawapan itu, polis menjalankan siasatan berhubung insiden di pejabat MCA Perak selepas menerima laporan, manakala dua insiden lain tidak melibatkan laporan polis.

Bagaimanapun, Lim menerusi hantaran berkenaan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap jawapan yang diberikan KDN.

BBerkaitan

Latest articles