TASEK GELUGOR: Aduan penduduk berhubung masalah kesesakan dan kekurangan tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Tasek Gelugor akan dibawa kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan maklum balas serta meneliti langkah penyelesaian yang bersesuaian.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan keselesaan pesakit, khususnya warga emas dan golongan yang memerlukan bantuan ketika mendapatkan rawatan.
Menurutnya, kesukaran mendapatkan tempat letak kereta serta ruang untuk menurunkan pesakit, terutama pengguna kerusi roda, turut menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.
“Isu ini perlu diberi perhatian kerana melibatkan keselesaan pesakit, khususnya warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan rawatan.
“Kesukaran mendapatkan tempat letak kereta serta ruang menurunkan pesakit, terutama yang berkerusi roda, juga boleh menimbulkan kesulitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful berkata, tindakan susulan akan diambil dengan membawa aduan berkenaan kepada pihak berkaitan, termasuk mendapatkan maklum balas mengenai langkah penyelesaian yang boleh dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau berkata, keperluan jangka panjang turut akan diteliti, termasuk cadangan penambahbaikan kemudahan sedia ada dan kemungkinan mewujudkan klinik kesihatan baharu sekiranya bersesuaian dengan pertambahan penduduk di kawasan Tasek Gelugor.
“Saya akan meneliti keperluan jangka panjang, termasuk cadangan penambahbaikan kemudahan sedia ada dan keperluan mewujudkan klinik kesihatan baharu sekiranya bersesuaian dengan pertambahan penduduk di kawasan Tasek Gelugor,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan kesihatan yang baik bukan sekadar menyediakan perkhidmatan rawatan, malah perlu memastikan pesakit dan petugas kesihatan dapat menjalankan urusan dengan selesa serta teratur.
“Saya percaya kemudahan kesihatan yang baik bukan sekadar menyediakan perkhidmatan rawatan, tetapi juga memastikan pesakit dan petugas kesihatan dapat menjalankan urusan dengan selesa dan teratur,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat dan semua petugas kesihatan yang komited menjalankan tanggungjawab mereka setiap hari.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang tampil menyuarakan aduan berhubung isu berkenaan bagi memastikan kemudahan kesihatan di kawasan itu terus mendapat perhatian.










