199 Kes Jenayah Libatkan Pelarian Rohingya Sejak 2022

KUALA LUMPUR: Sebanyak 199 kes jenayah melibatkan pelarian etnik Rohingya direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu merangkumi 52 kes pada 2022, diikuti 43 kes pada 2023 dan 37 kes pada 2024.

Beliau berkata, sebanyak 29 kes direkodkan pada 2025, manakala 38 kes dicatatkan bagi tempoh sehingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 58 kes, diikuti Kedah sebanyak 26 kes dan Johor (24 kes).

“Kuala Lumpur merekodkan 22 kes, manakala Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan masing-masing mencatatkan 13 kes.

“Perak dan Terengganu masing-masing merekodkan 12 kes, Melaka empat kes dan Negeri Sembilan dua kes,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Haji Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kesalahan jenayah melibatkan pelarian Rohingya mengikut negeri serta langkah kerajaan memperkukuh kawalan, pendaftaran dan pemantauan komuniti berkenaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan melaksanakan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka bagi menguruskan semua golongan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, bukan hanya etnik Rohingya.

Beliau berkata, arahan itu menetapkan garis panduan serta fungsi dan peranan kementerian serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Menurutnya, kerajaan turut memperkukuh pengurusan data dan pemantauan komuniti pelarian menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Januari 2026.

“Program DPP berfungsi sebagai instrumen utama kerajaan untuk mengambil alih dan memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat serta mengurangkan kebergantungan penuh kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi di bawahnya, bertanggungjawab menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, menjalankan tapisan keselamatan, melaksanakan proses penentuan status serta mengesahkan status migran yang memohon perlindungan sementara di negara ini.

Proses berkenaan melibatkan pemegang dokumen UNHCR dan individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.

Migran yang statusnya disahkan akan diberikan Kad DPP sebagai dokumen identiti rasmi yang diiktiraf kerajaan untuk membenarkan mereka tinggal sementara di Semenanjung Malaysia sehingga urusan akhir dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, Fasa 1 Program DPP memberi tumpuan kepada tahanan yang majoritinya terdiri daripada warga Myanmar etnik Rohingya di depot tahanan imigresen seluruh Semenanjung Malaysia.

Seramai 4,010 tahanan telah didaftarkan dalam program itu, terdiri daripada 4,008 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 2,746 ialah lelaki dewasa, 632 perempuan dewasa, 392 kanak-kanak lelaki dan 240 kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata, individu dewasa akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak, yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP).

BBerkaitan

Latest articles