ADUN DAP Gesa Sarawak Tarik Balik Kuota 30 Peratus Projek Bumiputera

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen menggesa Kerajaan Sarawak menarik balik dasar memperuntukkan 30 peratus daripada projek utama kerajaan negeri kepada syarikat Bumiputera.

Beliau mendakwa dasar berasaskan kuota kaum itu berpotensi berkembang ke sektor lain, termasuk perolehan kerajaan dan pendidikan, sekiranya pelaksanaannya tidak dihentikan.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan prinsip meritokrasi dalam pelaksanaan dasar, dengan peluang diberikan berdasarkan keupayaan dan kelayakan tanpa mengira kaum.

“Sebaik sahaja dasar ini dimulakan, ia tidak akan pernah berakhir.

“Ia bukan sahaja melibatkan projek kerajaan, malah boleh melibatkan perolehan lain, pendidikan serta bidang-bidang lain,” katanya ketika berbahas dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, pengumuman pada 2 September mengenai peruntukan 30 peratus projek utama kerajaan Sarawak kepada syarikat Bumiputera menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dasar kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Stampin turut membandingkan pendekatan itu dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan pada 1971.

“Adakah kita mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan dasar yang berasaskan kaum?

“Adakah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini mula memperkenalkan dasar seumpama DEB di Sarawak?” soalnya.

Beliau berkata, pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang menekankan meritokrasi dan prinsip tidak membezakan kaum perlu diterjemahkan secara konsisten dalam pelaksanaan dasar, termasuk dalam sektor pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Menurutnya, pengumuman kuota berkenaan dilihat bercanggah dengan prinsip tersebut dan boleh menimbulkan persoalan mengenai peluang yang diberikan kepada kontraktor daripada kaum lain.

Chong turut membangkitkan isu pemberian projek utama kepada kontraktor asing yang bekerjasama dengan kontraktor tempatan melalui perkongsian 50-50.

Katanya, sekiranya hanya baki bahagian projek tertentu diambil kira untuk pelaksanaan kuota 30 peratus kepada syarikat Bumiputera, timbul persoalan mengenai peluang yang tersedia kepada kontraktor Cina.

“Bukankah kita sepatutnya bersaing berdasarkan kebolehan dan meritokrasi, bukannya berdasarkan kaum?” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa DEB tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan dan berpandangan Sarawak tidak seharusnya mencontohi pendekatan berkenaan.

Sehubungan itu, Chong menggesa kerajaan negeri, khususnya Premier Sarawak, mempertimbangkan semula dasar tersebut bagi memastikan prinsip persaingan yang adil terus menjadi asas dalam pemberian projek kerajaan.

“Saya berharap kerajaan, terutamanya Premier, boleh menarik balik perkara ini dan tidak melaksanakan dasar yang bercirikan perkauman ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles