KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru yang menekankan pembinaan negara merentasi generasi dan kitaran pilihan raya menjadi antara fokus utama Better Nation (BN) Forum Siri Ke-12 hari ini.
Setiausaha Agung Barisan Nasional yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata, forum berkenaan membuka ruang kepada pelbagai pandangan dan teguran daripada panelis yang mempunyai latar belakang serta pengalaman berbeza.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan sesuatu gagasan dapat diuji, diperhalusi dan seterusnya diterjemahkan kepada dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Bagi saya, pandangan dan teguran seperti inilah yang memberikan nilai kepada BN Forum.
“Sesuatu gagasan menjadi lebih kukuh apabila kita bersedia mendengar, menguji idea dan memperhalusi pendekatan.
“Insya-Allah, perkara yang baik kita akan ambil dan berusaha untuk merealisasikannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam ucaptama pada forum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pembinaan negara perlu dilaksanakan melangkaui generasi dan tidak terikat kepada kitaran pilihan raya.
Beliau turut menggariskan Agenda Malaysia Biru yang memberi keutamaan kepada usaha mencipta serta memiliki teknologi sendiri, memperluas pemilikan kemakmuran rakyat, membina daya tahan negara dan memperkukuh kewibawaan Malaysia di dalam serta luar negara menerusi lapan ikhtiar.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menekankan kepentingan membina Malaysia yang inklusif, stabil dan berdaya saing melalui rundingan serta kesediaan mencari titik persamaan.
Beliau turut mengangkat aspek pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penguasaan teknologi sebagai asas dalam mempersiapkan rakyat menghadapi perubahan ekonomi selain mencipta inovasi sendiri.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula berpandangan bahawa nostalgia terhadap kegemilangan lalu semata-mata tidak memadai, sebaliknya Malaysia perlu mempunyai visi yang jelas bagi menjawab persoalan mengenai hala tuju negara selepas ini.
Katanya, Agenda Malaysia Biru juga perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami rakyat dan diterjemahkan kepada cadangan dasar yang konkrit.
Dalam pada itu, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi membawa gagasan anjakan daripada konsep “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia” dengan menekankan keupayaan anak watan untuk mereka cipta, memiliki teknologi dan menentukan arah kemajuan negara.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh hubungan antara universiti, institusi TVET dan industri supaya hasil penyelidikan dapat menyelesaikan masalah sebenar serta manfaat kemajuan dikongsi secara adil berteraskan nilai kemanusiaan.
Penganalisis politik USM, Prof Dato’ Dr Sivamurugan Pandian pula menegaskan sesuatu gagasan perlu diterjemahkan kepada dasar dan hasil yang boleh dirasai serta diukur oleh rakyat.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi perlu membuka lebih banyak ruang mobiliti sosial dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat, selain mengangkat kepentingan politik titik temu yang menghormati perbezaan dalam usaha bergerak bersama.
Peranan Sabah dan Sarawak sebagai rakan penting dalam membentuk masa depan Malaysia turut diberi penekanan.
Zambry berkata, agenda pembangunan negara perlu dimulakan dari sekarang khususnya dalam persediaan menuju Malaysia yang bakal mencapai 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
“Terutamanya menjelang negara Malaysia yang merdeka 100 tahun pada 2057, pasti agendanya perlu bermula daripada sekarang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh panelis dan hadirin yang menjayakan forum berkenaan.
Menurutnya, wacana seumpama itu akan diteruskan dengan membincangkan isu-isu semasa lain bagi memastikan idea yang diketengahkan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang membuka peluang, meningkatkan kesejahteraan serta membina keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.










