Institusi pendidikan di bawah KPM catat IPU lebih 180 ditutup mulai Jumaat

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup mulai Jumaat (esok).

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu dibuat bagi melindungi murid dan warga pendidikan daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, langkah berkenaan turut mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

“Bagi melindungi murid dan warga pendidikan daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan, KPM memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, institusi pendidikan terbabit hendaklah ditutup bermula Isnin, 12 Oktober 2026.

“Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR),” katanya.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

Katanya, berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan, guru-guru dan anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM hendaklah membuat pemantauan secara berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras yang dimaklumkan,” katanya.

Mohd Azam berkata, KPM akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa selain mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles