KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyita 47 daripada 121 kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) Bil. 5/2026 di sekitar ibu negara hari ini.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi bin Adam, berkata kenderaan yang disita membabitkan 40 motosikal, empat motokar dan tiga kenderaan barangan.
Menurutnya, operasi bersepadu oleh Unit Operasi dan Unit Falcon JPJ WPKL bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu melibatkan 64 anggota, terdiri daripada 54 anggota JPJ dan 10 anggota JIM.
“Sebanyak 273 notis dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, merangkumi 217 Notis P22, empat Notis PG1, lima Notis Seksyen 61(1) dan 47 Notis Sitaan Seksyen 64(1),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesalahan yang dikesan termasuk 120 berkaitan Lesen Memandu Kompeten (CDL), empat berkaitan lesen vokasional, 52 berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM), empat salah guna LKM dan 51 berkaitan insurans.
Turut direkodkan ialah empat kesalahan pengubahsuaian kenderaan, 37 kesalahan teknikal lain dan satu kesalahan lain-lain.
Hamidi berkata, 58 warga asing yang terdiri daripada pemandu, pembonceng dan kelindan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang imigresen.
Mereka terdiri daripada 17 warga Pakistan, 11 warga Myanmar, 10 warga Bangladesh, sembilan warga Indonesia, tujuh warga India, tiga warga Arab dan seorang warga Kemboja.
Beliau berkata, sehingga 8 Oktober tahun ini, pelaksanaan Ops PeWA oleh JPJ WPKL merekodkan pemeriksaan terhadap 19,140 kenderaan, dengan 5,568 kenderaan diambil tindakan dan 11,495 kesalahan dikesan.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ WPKL turut mengesan pihak tertentu menawarkan dokumen yang didakwa sebagai Permit Memandu Antarabangsa (IDP) kepada warga asing dengan bayaran sehingga RM500 serta tempoh sah yang didakwa mencecah lima tahun.
Menurut Hamidi, dokumen berkenaan dipercayai tidak memenuhi keperluan pengiktirafan untuk memandu secara sah di Malaysia dan berpotensi memperdaya pemegangnya.
Beliau menjelaskan bahawa IDP yang dikeluarkan JPJ Malaysia mempunyai tempoh sah satu tahun berdasarkan Konvensyen Mengenai Lalu Lintas Jalan Raya Geneva, 19 September 1949, manakala penggunaannya tertakluk kepada undang-undang negara atau wilayah berkenaan.
“Dokumen yang tertera perkataan ‘International Driving Permit’ tidak secara automatik memberikan hak kepada seseorang untuk memandu di Malaysia.
“Dokumen tersebut hendaklah dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau pihak yang diberi kuasa oleh negara berkenaan serta memenuhi syarat pengiktirafan yang terpakai di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan warga asing supaya tidak terpedaya dengan tawaran dokumen memandu antarabangsa daripada pihak yang tidak mempunyai kuasa atau pengiktirafan sah.
Hamidi turut memberi amaran kepada pemilik kenderaan, pengusaha dan pihak yang menyewakan kenderaan supaya memastikan individu yang menggunakan kenderaan mereka mempunyai kelayakan memandu yang sah.
Katanya, alasan bahawa kenderaan telah disewakan atau digunakan pihak lain tidak boleh dijadikan sebab untuk mengabaikan tanggungjawab memastikan pematuhan undang-undang.
JPJ WPKL, katanya, akan mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan, termasuk sitaan kenderaan dan tindakan undang-undang berkaitan.
Beliau berkata, penguatkuasaan Ops PeWA akan terus dipergiat melalui kerjasama dengan agensi lain bagi menjaga keselamatan jalan raya.
“Tindakan tegas ini bukan bertujuan menyasarkan mana-mana kewarganegaraan, sebaliknya memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang sama demi keselamatan dan kepentingan awam,” katanya.










