KUALA LUMPUR, 8 Okt: Perbezaan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) rasmi Malaysia dengan Indeks Kualiti Udara (AQI) yang dipaparkan menerusi aplikasi atau platform antarabangsa tidak semestinya menunjukkan percanggahan data mahupun usaha merendahkan tahap pencemaran udara sebenar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjelaskan, perbezaan angka itu lazimnya berpunca daripada penggunaan skala, kaedah pengiraan, nilai ambang, tempoh purata, masa kemas kini serta sumber data yang tidak sama antara satu platform dengan platform lain.
Menurut JAS, sesetengah platform antarabangsa menggunakan sistem seperti United States Air Quality Index (US AQI), selain memperoleh maklumat daripada sensor kos rendah, anggaran model komputer atau data satelit.
Bagaimanapun, kaedah berkenaan tidak semestinya memberikan gambaran yang sama dengan bacaan rasmi IPU Malaysia, khususnya apabila melibatkan pengukuran pencemaran pada paras bumi.
“Data satelit pula mengukur ketumpatan partikel di atmosfera dan bukan secara langsung kualiti udara sebenar pada paras bumi, iaitu paras yang dihidu oleh manusia,” menurut JAS dalam kenyataan hari ini.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa data satelit mempunyai keterbatasan tertentu, termasuk kemungkinan tersilap mentafsir wap air atau awan sebagai asap jerebu.
Sehubungan itu, JAS menegaskan angka IPU dan AQI daripada dua platform berbeza tidak boleh dibandingkan secara langsung semata-mata berdasarkan nombor yang dipaparkan.
Sebaliknya, perbandingan yang tepat perlu mengambil kira lokasi dan masa pengukuran yang sama, kepekatan sebenar bahan pencemar serta kaedah pengiraan indeks yang digunakan.
JAS menjelaskan bahawa IPU Malaysia merupakan bacaan purata yang dilaporkan setiap jam dan dikira berdasarkan subindeks enam bahan pencemar udara utama.
Enam bahan pencemar itu ialah ozon di permukaan bumi (O₃), karbon monoksida (CO), nitrogen dioksida (NO₂), sulfur dioksida (SO₂), habuk halus PM₁₀ dan habuk halus PM₂.₅.
Kepekatan bahan pencemar berkenaan dicerap secara berterusan selama 24 jam sehari bagi mendapatkan nilai rujukan untuk menentukan bacaan IPU, dengan PM₂.₅ lazimnya menjadi pencemar dominan ketika kejadian jerebu.
JAS memaklumkan pemantauan kualiti udara negara dilaksanakan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP), membabitkan 68 stesen pengawasan di seluruh negara.
Stesen berkenaan menjalankan pemantauan berdasarkan piawaian dan pensijilan antarabangsa yang berkaitan, termasuk Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) dan ISO.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS bagi mendapatkan bacaan IPU Malaysia yang dikemas kini setiap jam.
JAS menegaskan APIMS merupakan sumber rujukan rasmi kerajaan dalam penyampaian nasihat kesihatan dan pengurusan situasi jerebu.
Sementara itu, JAS memaklumkan sebanyak 38 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat jam 3 petang hari ini, manakala 30 kawasan berada pada tahap sederhana dan tiada kawasan mencatatkan kualiti udara baik.
Segamat, Johor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 190, diikuti Seremban, Negeri Sembilan (186), Nilai (185), Kluang, Johor (181), serta Rompin, Pahang dan Johan Setia, Selangor masing-masing 178.
Putrajaya pula mencatatkan IPU 175, Cheras dan Bukit Rambai masing-masing 174, manakala Shah Alam merekodkan 171.
Menurut JAS, keadaan itu berlaku ketika cuaca kering berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 Oktober, sebanyak 210 titik panas dikesan di Sumatera, 94 di Kalimantan dan satu di Malaysia, iaitu di Pahang.
Jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal turut diperhatikan di selatan dan tengah Sumatera, Singapura serta selatan Semenanjung Malaysia, selain beberapa kawasan di Kalimantan.
Dalam perkembangan berkaitan, JAS memaklumkan tindakan menangani jerebu dilaksanakan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, termasuk penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100.
Penutupan sekolah, tadika dan taska pula ditetapkan apabila IPU melebihi 200, manakala bacaan melebihi 150 selama lebih 24 jam menjadi antara mekanisme pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Operasi pembenihan awan juga boleh dilaksanakan apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, dengan pesalah boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.
Jabatan itu memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kualiti udara dan bekerjasama dengan NADMA, kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan menangani jerebu dilaksanakan secara terselaras dan berkesan.










