FMM Mahu Lebih Banyak Syarikat Capai Hasil RM100 Juta, Bukan Kekal Sebagai PKS

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mahu lebih banyak syarikat tempatan berkembang sehingga mampu mencapai hasil tahunan RM100 juta, berbanding kekal sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tempoh yang panjang.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, fokus Malaysia perlu beralih daripada sekadar membantu perniagaan kekal dalam kategori PKS kepada usaha membolehkan syarikat berkembang melepasi peringkat industri kecil dan sederhana (SMI).

“Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat yang berjaya berkembang melepasi peringkat PKS untuk menjadi PKS yang kukuh, syarikat peringkat pertengahan dan akhirnya peneraju industri negara.

“Matlamatnya bukanlah untuk perniagaan kekal sebagai PKS selama-lamanya, tetapi menyokong mereka melalui fasa pertumbuhan kritikal supaya mereka dapat mencipta nilai ekonomi yang lebih besar, pekerjaan berkualiti dan keupayaan perindustrian yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan FMM SMI (SMIC) 2026 yang bertemakan ‘Laluan ke Hasil RM100 Juta: Kerangka Kerja, Bakat dan Modal untuk Peringkat Seterusnya Pertumbuhan Perniagaan’, pada Khamis.

Menurut Jacob, FMM turut mengulangi cadangan supaya ambang PKS sektor pembuatan disemak kepada jualan tahunan sehingga RM100 juta serta sehingga 300 pekerja sepenuh masa.

Katanya, cadangan itu lebih mencerminkan realiti perniagaan semasa dan menyokong syarikat ketika melalui fasa pengembangan yang paling mencabar.

“Cadangan ini bukan sekadar mengenai perubahan angka. Ia adalah mengenai pengiktirafan terhadap realiti ekonomi dan menyediakan syarikat yang sedang berkembang dengan akses berterusan kepada mekanisme sokongan ketika melalui fasa paling mencabar dalam perjalanan mereka.

“Pada akhirnya, ia adalah untuk membantu lebih banyak syarikat bergerak daripada RM10 juta kepada RM50 juta, dan daripada RM50 juta kepada RM100 juta dalam hasil tahunan,” katanya.

FMM turut menggesa supaya ambang cukai korporat PKS dikaji semula berdasarkan prinsip mudah iaitu membiarkan lebih banyak modal berada dalam tangan perniagaan supaya mereka boleh melabur, berinovasi dan berkembang.

Jacob berkata, setiap ringgit yang dikekalkan dan dilaburkan semula dalam industri membantu mewujudkan perniagaan yang lebih kukuh, pekerjaan lebih baik serta pertumbuhan gaji yang lebih mampan.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh aliran tunai dalam kalangan PKS.

“Bagi kebanyakan PKS, aliran tunai adalah perbezaan antara pertumbuhan dan kelangsungan hidup. Jualan yang kukuh tidak banyak membantu apabila bayaran tertangguh atau invois masih belum dibayar.

“Kita memerlukan disiplin pembayaran yang lebih kukuh, perlindungan lebih baik untuk pembekal dan mekanisme kutipan hutang yang lebih berkesan.

“Pada masa sama, PKS perlu memperkukuh amalan pengurusan kredit mereka. Pertumbuhan mampan bukan hanya bergantung kepada menjana jualan, tetapi menukar jualan kepada tunai,” katanya.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Dr Steven Sim Chee Keong yang turut menyampaikan ucaptama, manakala Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Teng Chang Khim menyampaikan sesi pleno bertajuk ‘Membentuk Masa Depan PKS Malaysia’.

Persidangan itu menarik lebih 300 pemimpin perniagaan, usahawan, penggubal dasar dan pihak berkepentingan industri yang komited untuk memajukan agenda pertumbuhan Malaysia.

Melalui empat tonggak utama iaitu Kerangka Kerja, Bakat, Modal dan Teknologi, persidangan tersebut menampilkan perbincangan berkaitan pengembangan perniagaan, pembiayaan pertumbuhan, transformasi digital dan pembangunan tenaga kerja.

BBerkaitan

Latest articles