KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih belum dimuktamadkan.
Ini susulan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengembalikan kertas siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan beberapa perkara yang masih memerlukan penelitian.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, antara perkara yang perlu disahkan ialah ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menjadi antara bahan bukti dalam kes berkenaan.
“Setelah penelitian dibuat terhadap kertas siasatan terbabit, ada beberapa aspek yang memerlukan siasatan lanjut dibuat bagi melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan akan dipulangkan semula hari ini kepada pihak PDRM bagi tujuan berkenaan.
“Antaranya untuk mengesahkan ketulenan rakaman CCTV serta beberapa perkara relevan bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dusuki bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut berhubung aspek lain yang perlu disiasat dan enggan mengulas sama ada PDRM ditetapkan tempoh tertentu untuk melengkapkan siasatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mengesahkan kertas siasatan telah diserahkan kepada AGC untuk penelitian, nasihat serta arahan lanjut mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Seramai 25 saksi setakat ini telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan terhadap kejadian yang dilaporkan berlaku pada 28 September lalu.
Kes itu tercetus selepas penularan rakaman video yang memaparkan Mohd Shuhaily memarahi dua individu di KLIA1.
Sebelum ini, Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan sebarang tindakan terhadapnya berhubung insiden berkenaan.










