KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan pendekatan lebih tersusun dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan warga emas susulan Malaysia yang semakin menghampiri status masyarakat menua menjelang 2030.
Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Mohd Omar Mustapha berkata, isu kebajikan dan kesihatan warga emas tidak seharusnya dilihat secara berasingan melalui pelbagai bantuan kerajaan, sebaliknya memerlukan satu pendekatan dasar yang jelas dan boleh diukur.
Menurutnya, Belanjawan 2026 memperlihatkan peruntukan berkaitan warga emas yang tersebar dalam sekurang-kurangnya enam butiran berbeza merangkumi bantuan tunai bulanan, kebajikan am, klinik diperkasa, perumahan mandiri, dana pembiayaan perubatan dan perbelanjaan mengurus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setiap satu di bawah agensi berlainan, dengan garis masa berlainan, dan tanpa satu pun laporan perbelanjaan sebenar berbanding peruntukan yang boleh diperiksa umum.
“Enam baris belanjawan, bukan satu dasar,” katanya dalam hantaran selepas menghadiri Sidang Meja Bulat Bajet 2027 di Parlimen Malaysia yang memberi tumpuan kepada isu ‘Menangani Kenaikan Kos Kesihatan dalam Masyarakat Menua’, pada Rabu.
Beliau berkata, isu itu semakin penting apabila inflasi perubatan kekal pada paras dua angka, manakala perbelanjaan kesihatan dari poket sendiri masih menanggung hampir satu pertiga daripada kos kesihatan negara.
Katanya, keadaan berkenaan memberi tekanan lebih besar kepada warga emas yang lazimnya memerlukan rawatan berterusan, ubat-ubatan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih kerap.
“Persoalannya, apabila kos rawatan meningkat dan jumlah warga emas semakin bertambah, apakah sistem kesihatan negara benar-benar bersedia untuk menampung keperluan mereka?
“Jangan sampai kebajikan warga emas terus bergantung kepada belas ehsan wakil rakyat apabila kemudahan dan perkhidmatan kesihatan tidak mencukupi,” katanya.
Mohd Omar turut mengambil situasi di Langkawi sebagai gambaran cabaran yang dihadapi penduduk, khususnya warga emas, apabila kemudahan kesihatan tidak seiring dengan keperluan setempat.
Beliau berkata, Langkawi mempunyai lebih 100,000 penduduk selain menerima jutaan pelancong setiap tahun, namun hanya mempunyai sebuah hospital awam dan tiada hospital swasta.
Menurutnya, ketiadaan pakar jantung bermastautin menyebabkan pesakit serangan jantung perlu dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, termasuk menggunakan bot pada waktu siang dan malam.
“Kapasiti dialisis di hospital itu juga jauh lebih kecil daripada bilangan penduduk yang memerlukannya.
“Ramai yang tidak mempunyai pilihan selain menunggu sehingga keadaan mereka merosot teruk sebelum mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kertas Putih Kesihatan yang diluluskan sebulat suara Dewan Rakyat pada Jun 2023 perlu dijadikan asas untuk menilai sejauh mana negara benar-benar bersedia menghadapi perubahan demografi tersebut.
Katanya, dokumen berkenaan menggariskan reformasi kesihatan untuk tempoh 15 tahun termasuk mekanisme pembiayaan kesihatan mampan, pengukuhan penjagaan primer dan pembaharuan tadbir urus sistem kesihatan.
“Lebih tiga tahun selepas diluluskan, cadangan terasnya masih belum diberi bentuk perundangan mahupun garis masa pelaksanaan yang jelas.
“Jadi, Bajet 2027 sepatutnya menjadi ruang untuk Parlimen menilai bukan sahaja berapa banyak wang diperuntukkan, tetapi berapa banyak yang benar-benar dibelanjakan dan apakah hasil yang diterima warga emas,” katanya.
Sidang meja bulat yang dianjurkan Ahli Parlimen Datuk Wan Saiful Wan Jan itu turut menghimpunkan Ahli Parlimen serta barisan profesional daripada pelbagai bidang bagi membincangkan cabaran dan hala tuju kos penjagaan kesihatan negara.
Mohd Omar berkata, JKM, KKM dan KWAP perlu membentangkan status perbelanjaan sebenar bagi setiap peruntukan berkaitan warga emas ketika perbahasan Bajet 2027 sebelum Dewan diminta meluluskan peruntukan baharu.
“Kepercayaan terhadap institusi tidak hilang apabila pelan gagal. Ia hilang apabila pelan diluluskan, lalu dilupakan,” katanya.










