KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menegaskan beliau tidak akan mengikut saranan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim agar bekas pemimpin PKR mengelak daripada mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi.
Sebaliknya, Wong berpandangan pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan perlu bersedia dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dibuat.
Katanya, kritikan terhadap seseorang pemimpin tidak seharusnya dipisahkan daripada tindakan serta keputusan yang dibuatnya ketika menjalankan tanggungjawab dalam kerajaan.
“Saya tidak akan mengikuti cadangan YB Hassan Karim,” katanya ketika menghadiri himpunan membantah lawatan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), hari ini.
Kenyataan itu dilontarkan susulan teguran Hassan terhadap empat bekas pemimpin PKR yang kini berada dalam Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Hassan sebelum ini menggesa mereka supaya menumpukan kritikan kepada kerajaan dan dasar yang dipersoalkan, bukannya menjadikan Anwar atau PKR sebagai sasaran serangan peribadi.
Beliau merujuk Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan Lee Chean Chung sebagai ‘Geng Empat’, selain memberi amaran bahawa pendekatan menyerang Anwar dan PKR secara berterusan tidak semestinya membantu Bersama meraih sokongan pada PRU16.
Rafizi dan Nik Nazmi meninggalkan PKR pada Mei lalu, masing-masing selepas mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa.
Wong kemudiannya meninggalkan PKR pada Ogos dan turut mengosongkan kerusi Parlimen Subang, manakala Lee menyertai Bersama pada 5 Oktober selepas mengosongkan kerusi Petaling Jaya.










