Isu RM10 juta YBR: Nazir Hussin Gesa Peguam Negara Lihat Kes Secara Menyeluruh

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar digesa melihat secara adil dan menyeluruh isu siasatan berkaitan pelaburan RM10 juta Yayasan Bank Rakyat (YBR), susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya baru-baru ini.

Tokoh korporat Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, gesaan itu dibuat supaya dirinya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu.

“Saya juga dengan rendah diri merayu kepada Yang Arif Tan Sri Peguam Negara agar melihat perkara ini secara adil dan menyeluruh supaya saya tidak dijadikan kambing hitam atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Nazir dalam masa sama menegaskan YBR tidak mengalami sebarang kerugian atau kehilangan wang daripada pelaburan berjumlah RM10 juta berkenaan.

Menurutnya, modal pelaburan tersebut telah diperoleh semula sepenuhnya, selain YBR menerima pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta sepanjang tempoh pelaburan.

Katanya, pulangan hibah itu dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sebelum pelaburan berkenaan ditamatkan pada November 2022.

Nazir turut menafikan dakwaan bahawa pelaburan tersebut dibuat menggunakan syarikat milik abangnya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan syarikat berkenaan bukan milik abangnya dan abangnya hanya menjadi salah seorang pelabur selepas YBR membuat pelaburan.

“Transaksi yang melibatkan abang saya dalam syarikat berkenaan hanya bermula pada tahun 2021 dan beliau masih merupakan salah seorang pelabur sehingga kini.

“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya,” katanya.

Mengulas tindakan SPRM, Nazir mendakwa pihak berkuasa itu hadir ke kediamannya pada 30 September lalu kira-kira jam 6.30 pagi dan berada di situ sehingga 6.30 petang.

Beliau mendakwa rumahnya digeledah dan beberapa kenderaan termasuk kereta serta motosikal disita atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mempertikaikan tindakan dan cara penyitaan tersebut yang pada pandangan saya merupakan satu bentuk salah guna kuasa,” katanya.

Beliau turut mendakwa kertas siasatan berkaitan isu berkenaan pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu dan mendakwa pada ketika itu tiada salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut dikenal pasti pada 2022.

Nazir juga mempersoalkan tindakan SPRM memuat naik kandungan di akaun rasmi TikTok ‘SPRM Malaysia’ berlatarbelakangkan lagu bertemakan ‘penyamun’ dengan kapsyen bahawa siasatan awal mendapati kedua-dua adik beradik bersubahat.

Menurutnya, tindakan tersebut boleh menimbulkan persepsi seolah-olah beliau telah disabitkan bersalah sedangkan pada ketika itu tiada pertuduhan terhadapnya.

Sementara itu, Nazir mendakwa sepanjang tempoh reman tujuh hari, hanya satu hari digunakan untuk soal siasat berkaitan isu YBR.

Beliau mendakwa selebihnya melibatkan pelbagai soalan berkaitan politik yang pada pandangannya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utama penahanan dan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR.

Beliau turut mempersoalkan tindakan penyitaan kereta dan motosikalnya yang didakwanya tidak mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung dana YBR.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan kepada saya sama ada pihak SPRM sedang cuba mencari alasan atau asas lain untuk membolehkan saya didakwa di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Nazir berkata beliau kini mendapatkan pandangan dan nasihat guaman berhubung tindakan seterusnya, termasuk kemungkinan mengambil tindakan sivil serta apa-apa tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap SPRM.

Beliau menegaskan dirinya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah.

“Saya percaya masyarakat berhak mengetahui fakta sebenar dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah.

“Apa yang saya tuntut hanyalah keadilan, ketelusan dan proses yang adil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles