Nazir Hussin nafi YBR rugi RM10 juta, dakwa SPRM salah guna kuasa

KUALA LUMPUR: Ahli Perniagaan, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin menafikan dakwaan berlaku penyelewengan atau kehilangan dana berjumlah RM10 juta membabitkan Yayasan Bank Rakyat (YBR), sebaliknya menegaskan pelaburan berkenaan telah dikembalikan sepenuhnya bersama pulangan hibah RM1.85 juta.

Beliau berkata pelaburan RM10 juta yang dibuat YBR dilaksanakan berdasarkan prinsip good governance, due diligence dan tatakelola yang sewajarnya.

Menurutnya, pulangan hibah berjumlah RM1.85 juta itu dikreditkan terus ke akaun YBR setiap tiga bulan sepanjang tempoh pelaburan sebelum pelaburan tersebut ditamatkan pada November 2022.

“Saya ingin menegaskan bahawa YBR tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku.

“Modal pelaburan berkenaan telah diperoleh semula sepenuhnya, malah YBR turut menerima pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta daripada pelaburan tersebut,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Nazir turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kedudukan dengan membuat pelaburan menggunakan syarikat milik abangnya.

Beliau berkata, syarikat berkenaan bukan milik abangnya, sebaliknya abangnya hanya menjadi salah seorang pelabur dalam syarikat tersebut selepas YBR membuat pelaburan.

Katanya, transaksi yang melibatkan abangnya dalam syarikat berkenaan hanya bermula pada 2021 dan beliau masih menjadi salah seorang pelabur sehingga kini.

“Justeru, adalah tidak tepat untuk menggambarkan pelaburan YBR itu sebagai pelaburan dalam syarikat milik abang saya,” katanya.

Mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nazir berkata pihak berkuasa berkenaan hadir ke kediamannya pada kira-kira jam 6.30 pagi pada 30 September lalu sebelum berada di situ sehingga 6.30 petang.

Beliau mendakwa rumahnya digeledah dan beberapa kenderaan termasuk kereta serta motosikal disita atas alasan terdapat penyelewengan dana YBR berjumlah RM10 juta.

“Saya mempertikaikan tindakan dan cara penyitaan tersebut yang pada pandangan saya merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau turut mendakwa kertas siasatan berkaitan isu berkenaan pernah dibuka kira-kira empat tahun lalu dan siasatan SPRM ketika itu tidak mengenal pasti sebarang salah laku atau penyelewengan berkaitan perkara tersebut pada 2022.

Dalam pada itu, Nazir turut mempersoalkan tindakan SPRM memuat naik kandungan di akaun rasmi TikTok ‘SPRM Malaysia’ yang menggunakan lagu bertemakan ‘penyamun’ serta kapsyen “siasatan awal mendapati kedua-dua adik beradik bersubahat”.

Menurutnya, hantaran tersebut dibuat ketika siasatan masih berjalan dan tiada pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Beliau berpandangan kandungan berkenaan boleh menimbulkan persepsi seolah-olah dirinya telah disabitkan bersalah.

“Tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan tidak profesional, khususnya apabila ia melibatkan sebuah badan penguat kuasa,” katanya.

Mengenai tempoh reman selama tujuh hari, Nazir mendakwa hanya sehari digunakan untuk menyoalnya berhubung isu pelaburan YBR.

Katanya, pada hari-hari berikutnya, beliau didakwa diajukan pelbagai soalan berkaitan politik yang pada pandangannya tidak mempunyai kaitan dengan alasan utama penahanan dan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM10 juta dana YBR.

Beliau turut mendakwa penyitaan kereta dan motosikalnya tidak mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung dana YBR.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan kepada saya sama ada pihak SPRM sedang cuba mencari alasan atau asas lain untuk membolehkan saya didakwa di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Nazir berkata beliau sedang mendapatkan pandangan serta nasihat guaman berhubung tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan mengambil tindakan sivil dan tindakan undang-undang lain yang bersesuaian terhadap SPRM.

Beliau turut merayu kepada Peguam Negara supaya melihat perkara berkenaan secara adil dan menyeluruh agar dirinya tidak dijadikan “kambing hitam” atau alat untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak.

“Saya percaya masyarakat berhak mengetahui fakta sebenar dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana proses undang-undang yang sah.

“Apa yang saya tuntut hanyalah keadilan, ketelusan dan proses yang adil,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles