KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tampil memberikan penjelasan berhubung kenyataan mengenai persetujuan Myanmar menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.
Ketua Pemuda Nasional Parti Wawasan Negara, Faiz Rahmad mendakwa terdapat percanggahan antara pengumuman Anwar pada 29 Julai lalu dengan penjelasan Perdana Menteri ketika perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 6 Oktober.
Menurutnya, Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.
“Pada 6 Oktober, apabila perkara ini dibangkitkan di Dewan Rakyat, Anwar sendiri mengesahkan bahawa tiada seorang pun Rohingya berada dalam kalangan 1,476 warga Myanmar yang dihantar pulang pada 29 September.
“Pada masa sama, beliau mengatakan penghantaran pulang Rohingya masih dalam perbincangan, manakala persetujuan yang ada pula dikatakan melibatkan warga Myanmar daripada pelbagai etnik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Faiz mempersoalkan maksud sebenar persetujuan yang diumumkan pada 29 Julai itu, termasuk sama ada ia secara khusus membabitkan penghantaran pulang pelarian Rohingya.
“Kalau benar Myanmar sudah bersetuju menerima semula 5,000 Rohingya, mengapa pada Oktober penghantaran pulang mereka masih dikatakan dalam perbincangan?
“Kalau angka 5,000 itu sebenarnya melibatkan warga Myanmar daripada pelbagai etnik, mengapa rakyat diberi gambaran bahawa ia adalah persetujuan khusus mengenai penghantaran pulang Rohingya?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa penghantaran pulang pertama pada 29 September tidak melibatkan seorang pun Rohingya sekiranya persetujuan berhubung perkara itu telah dicapai.
Faiz berkata, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan angka sebaliknya menyentuh soal kredibiliti Perdana Menteri serta ketepatan maklumat yang disampaikan kepada rakyat.
“Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya dipersetujui atau diputuskan oleh kerajaan.
“Pengumuman itu tidak tepat, Anwar mesti akui dan betulkan. Rakyat telah diberikan gambaran yang mengelirukan, maka Anwar wajib minta maaf kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kedudukan sebagai Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengeluarkan kenyataan tanpa pertanggungjawaban terhadap kesahihannya.
“Anwar, rakyat mahu jawapan. Bukan spin. Bukan alasan. Bukan cerita yang berubah-ubah,” katanya.
Faiz turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung bentuk persetujuan dengan Myanmar, termasuk jumlah, kategori warga yang terlibat dan status sebenar rundingan mengenai penghantaran pulang pelarian Rohingya.










