KUALA LUMPUR: Permohonan empat Undang untuk memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan mengambil tindakan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berakhir selepas mereka menarik balik semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Norliza Othman membenarkan penarikan balik itu tanpa kebenaran untuk difailkan semula, selain memerintahkan empat pemohon membayar kos berjumlah RM40,000 kepada pihak yang sebelum ini memohon untuk mencelah dalam kes berkenaan.
Peguam Steven Thiru yang mewakili Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, berkata pihak pencelah memohon kos berikutan keputusan pemohon menarik balik kes tersebut.
Menurutnya, mereka berpandangan kos wajar dikenakan kerana semakan kehakiman berkenaan didakwa tidak mempunyai merit.
Steven turut membangkitkan persoalan mengenai pemfailan kes di Kuala Lumpur, termasuk dakwaan berlaku penyalahgunaan proses mahkamah apabila beberapa prosiding berkaitan di Mahkamah Tinggi Seremban tidak dimaklumkan kepada mahkamah.
Antara perkara yang didakwa tidak didedahkan ialah prosiding di Seremban, perintah injunksi bertarikh 5 Jun serta kebenaran prosiding komital yang diberikan pada 8 Julai.
Empat pihak yang memohon mencelah ialah DKU, Setiausaha DKU, Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau.
Sebelum ditarik balik, kes itu memohon perintah mandamus supaya Menteri Besar menandatangani dokumen proklamasi berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz, selain mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 melalui proklamasi baharu.
Isu sama turut menjadi pertikaian dalam prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Pada 8 Julai lalu, mahkamah memberikan kebenaran prosiding komital terhadap enam individu berhubung dakwaan melanggar perintah injunksi sementara, termasuk berkaitan penganjuran mesyuarat atau program DKU serta penyertaan dalam istiadat pelantikan Tunku Nadzaruddin pada 5 Jun.
Prosiding komital yang dijadualkan pada 28 Julai bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.










