KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengecualikan pekerja asing daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu penting bagi melindungi kepentingan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan peningkatan kos operasi.
Menurutnya, kebanyakan majikan membuat pengiraan kos penggajian pekerja asing berdasarkan kontrak atau surat perjanjian yang dimeterai ketika pengambilan pekerja.
“Kalau gaji minimum naik RM300, itu bermakna pekerja asing akan mendapat RM300 lebih daripada apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian.
“Ini tentu akan menambahkan beban kewangan kepada majikan dan perniagaan tempatan,” katanya ketika sidang media di Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata, majikan juga tidak seharusnya dipersalahkan kerana mengambil pekerja asing berikutan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan, terutama dalam kalangan PMKS.
“Kalau mereka boleh cari pekerja tempatan, tentu mereka lebih rela. Tetapi kerana tidak dapat, mereka terpaksa mencari pekerja asing,” katanya.
Guan Eng berkata, kos sebenar yang perlu ditanggung majikan bagi setiap pekerja asing juga jauh lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum berikutan pelbagai bayaran tambahan termasuk levi, kos penempatan, perumahan dan penjagaan kesihatan.
“Kalau gaji minimum RM1,700, mereka bukan bayar RM1,700 sahaja. Dengan semua kos berkaitan, secara efektif kadar pembayaran itu boleh bertambah kira-kira RM1,000 sebulan.
“Ini merupakan beban yang sangat berat kepada PMKS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus bagi pekerja asing dengan kadar sama turut ditanggung majikan bagi membantu mengurangkan beban pengusaha.
Beliau turut mempersoalkan keperluan kerajaan terlalu sensitif terhadap komitmen di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam isu gaji dan kebajikan pekerja asing.
Guan Eng berkata, Malaysia juga boleh meneliti pendekatan Singapura yang telah menghentikan bayaran CPF bagi pekerja asing sejak lebih dua dekad lalu.
“Sudah sampai masanya kita menjaga kepentingan perniagaan Malaysia. Jangan bebankan mereka,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata, cadangan kenaikan gaji minimum itu menjadi lebih membimbangkan selepas beliau menerima banyak panggilan daripada majikan yang menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kos.
Katanya, walaupun terdapat pengecualian atau moratorium bagi PMKS, tempoh pelaksanaannya masih tidak diketahui.
“Ini hanya soal masa sebelum mereka perlu mengikut (kenaikan tersebut). Kalau itu berlaku, perniagaan Malaysia akan terjejas dengan teruk,” katanya.
Beliau menegaskan kenaikan gaji minimum wajar diberikan kepada pekerja tempatan, namun tidak kepada pekerja asing bagi mengelakkan beban tambahan terhadap perniagaan tempatan.
“Charity begins at home. Perniagaan Malaysia hanya boleh bergantung kepada Perdana Menteri untuk menjaga mereka,” katanya.










