KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menegaskan tindakannya semakin menjauhkan diri daripada PKR bukan tanpa sebab, sebaliknya berpunca daripada kegagalan parti itu mengambil tindakan terhadap isu ‘mafia korporat’ yang dibangkitkannya menerusi saluran dalaman.
Beliau menyifatkan dakwaan kononnya sudah lebih setahun tidak aktif dalam parti sebagai tidak tepat dan cuba mengalihkan perhatian daripada persoalan sebenar yang mencetuskan keretakan hubungannya dengan kepimpinan PKR.
Menurutnya, beliau mula mengurangkan penglibatan dalam aktiviti parti selepas kebimbangannya berhubung isu berkenaan tidak mendapat sebarang maklum balas atau tindakan sewajarnya.
“Kenyataan bahawa saya telah ‘lebih setahun hilang’ daripada urusan parti adalah tidak tepat. Ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar keadaan ini.
“Saya mula kurang aktif selepas isu mafia korporat yang saya bangkitkan melalui saluran dalaman tidak diendahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Lee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, sekali gus menjawab teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini mendakwa beliau tidak menghadiri mesyuarat parti selama setahun, termasuk Kongres PKR pada Ogos lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng, turut mendakwa Lee kebanyakannya tidak menghadiri mesyuarat anjuran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, termasuk perbincangan berkaitan Rancangan Tempatan Petaling Jaya.
Bagaimanapun, Lee tampil memberikan kronologi tindakannya membangkitkan isu berkenaan, termasuk membawa perkara itu ke Parlimen pada Januari lalu.
Beliau turut mendakwa sudah mengadakan pertemuan dengan Anwar pada April bagi mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berkaitan ‘mafia korporat’.
Lee juga membangkitkan dakwaan usahawan, Victor Chin, pada Mac lalu bahawa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM9.5 juta bagi menyelesaikan kemelut undang-undang yang dihadapinya berkaitan dakwaan mafia korporat.
Namun, beliau mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Menurut Lee, kemelut itu kemudian disusuli tindakan menyekat peruntukan kawasan Parlimennya pada Mei, sebelum dana berkenaan diserahkan kepada PKR untuk diuruskan.
Beliau seterusnya melepaskan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada Jun lalu.
Lebih mengecewakan, katanya, proses disiplin parti terhadap dirinya juga tidak memberikan ruang sewajarnya untuk beliau mempertahankan diri.
Lee berkata, beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR pada 2 Julai dan mengemukakan jawapan pada 9 Julai 2026.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas, meskipun sudah mengutuskan surat kepada lembaga berkenaan bagi memohon supaya satu pendengaran diadakan untuk membolehkannya membela diri.
Sebaliknya, beliau dikenakan penggantungan keahlian parti selama tiga tahun pada 30 September lalu, yang disifatkannya sebagai hukuman tanpa perbicaraan.
“Rekod ini jelas. Saya tidak hilang. Saya menggunakan setiap saluran yang betul, dan setiap kali jawapan yang saya terima ialah diam, sekatan dan hukuman.
“Mengapa Ahli Parlimen yang mendesak siasatan dihukum, tetapi Ahli Parlimen yang dituduh menerima RM9.5 juta tidak disiasat?” soalnya.
Hubungan Lee dengan kepimpinan PKR mula memperlihatkan ketegangan selepas beliau menghadiri majlis pelancaran Bersama pada Mei lalu.
Kehadirannya dalam acara itu turut menyebabkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada parti, namun Lee mempertahankan tindakan tersebut dengan menjelaskan bahawa beliau hanya menyertai aktiviti yang dianjurkan di kawasan Parlimennya.










