SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan menegaskan bahawa sebarang usaha menyelesaikan kemelut institusi dan pentadbiran di negeri ini tidak seharusnya menafikan rentetan peristiwa asal yang membawa kepada krisis berkenaan, terutamanya kegagalan pentadbiran terdahulu menguruskan isu dokumen asas secara tertib.
Ketua Penerangannya, Muhammad Sufian Maradzi berkata, parti itu mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh PKR Negeri Sembilan sebelum ini, namun mengingatkan agar keseluruhan naratif tidak ditafsir secara terpilih bagi menutup periwayatan sebenar bagaimana krisis tersebut tercetus.
Menurut beliau, titik paling kritikal bermula pada 17 April 2026 apabila kedudukan Undang Luak Sungei Ujong yang diputuskan secara kolektif menerusi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dipertikaikan oleh pihak-pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
“Justeru, persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?
“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” ujarnya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana krisis tersebut bermula, seolah-olah mengamalkan sikap ‘baling batu sembunyi tangan’ sedangkan pentadbiran hari ini sedang berdepan dengan pertikaian yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Beliau menambah bahawa pertikaian itulah yang menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebelum beliau sendiri memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah.
“Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” jelasnya.
Menyorot aspek utama penyelesaian krisis itu, UMNO negeri menegaskan bahawa jika PKR benar-benar mahu melihat kemelut ini diselesaikan, ia mesti dimulakan dengan merungkai persoalan yang masih menjadi asas kepada keseluruhan krisis, di mana pihak yang berpolemik menuntut dokumen berkenaan manakala kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikannya dengan tertib dan beradab, tanpa memilih hanya sebahagian naratif demi kepentingan politik semasa.
Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan menyeru rakyat agar menilai rentetan peristiwa bermula dari zaman pentadbiran kerajaan pimpinan PKR sebelum meletakkan kesalahan kepada pentadbiran kini yang sedang berusaha membetulkan keadaan.
“Kerajaan Negeri hari ini memikul satu tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi-institusi yang sah.
“Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses yang sedang berjalan,” katanya.










