SEREMBAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan mendesak supaya kemelut institusi dan pentadbiran yang sedang melanda negeri ini diselesaikan dengan kadar segera agar rakyat tidak terus menanggung akibat daripada kegagalan urus tadbir semasa.
Parti itu menerusi mesyuaratnya malam tadi menyatakan pandangan serius terhadap perkembangan terbaharu itu yang bukan sahaja melibatkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan rasmi parti itu, pihaknya menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar Datuk Ismail Lasim, yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Kami memberi amaran bahawa krisis pentadbiran tersebut berisiko melumpuhkan pentadbiran negeri dan menyusahkan rakyat sekiranya terus dibiarkan berlarutan.
“Ketidaktentuan kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) didakwa berpotensi melambatkan urusan penting seperti pelaburan, pembangunan, kelulusan serta pindah milik tanah, yang akhirnya boleh menjejaskan keyakinan pelabur, peniaga, serta peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat,” kata kenyataan itu.
Selain itu, isu pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan ahli majlis diingatkan supaya tidak terus tergantung kerana institusi terbabit bertindak sebagai penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi bagi memastikan penyelarasan yang berkesan.
“Keadaan semasa menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian yang berpanjangan.
“Walaupun jentera perkhidmatan awam masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas, ketidaktentuan dalam kepimpinan dan proses membuat keputusan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam, pelabur, pihak berkuasa tempatan dan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pihak kerajaan negeri diseru supaya memastikan wujudnya kejelasan mengenai kuasa membuat keputusan, tanggungjawab setiap pihak, serta kesinambungan pentadbiran kerana kepentingan rakyat mesti sentiasa mengatasi sebarang kepentingan politik atau pertimbangan peribadi.
Dalam pada itu, parti itu turut menyeru semua pemimpin politik agar mengutamakan kebijaksanaan, mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan, serta memberi ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut terbabit.
“Pendirian kami adalah jelas, akan sentiasa menjunjung kasih dan memberikan sokongan kepada Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” tambahnya lagi.










