​Projek Taman Solar Helios Kelantan Bernilai RM2.8 Bilion Sasar Beroperasi 2028

​KUALA LUMPUR: Projek Taman Solar Helios di Gua Musang, Kelantan yang dianggarkan bernilai RM2.8 bilion kini melangkah ke fasa realiti apabila bersedia menjana tenaga hijau menjelang akhir tahun 2028.

​Projek berskala besar dengan kapasiti 1,000 megawatt (MW) atau 1 gigawatt (GW) itu turut dilengkapi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1,600 MW bagi menyokong kestabilan bekalan tenaga.

​Ketua Pegawai Operasi Helios Solar AG, Datuk Dr Zuraidi Ishak berkata, pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa utama yang masing-masing melibatkan kapasiti 500 MW.

​”Projek ini berada di lokasi strategik dengan kemudahan dua pencawang berkapasiti 275 kilovolt-ampere (kVA) serta sokongan tanah seluas 3,000 ekar.

​”Kita menyasarkan penjanaan tenaga komersial bagi fasa pertama dapat beroperasi menjelang akhir 2028 untuk mengejar insentif yang ditetapkan,” katanya.

​Beliau berkata demikian pada sidang media majlis menandatangani perjanjian Projek Taman Solar Helios Kelantan di Kuala Lumpur pada Rabu.

​Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Ong Thuan Ming.

​Mengulas mengenai pelantikan rakan strategik, Dr Zuraidi menjelaskan bahawa kerjasama teknikal lengkap telah dibentuk bagi memastikan projek berkenaan berjalan mengikut jadual.

​Antara rakan kerjasama yang dilantik termasuk AHA Consultant sebagai perunding kejuruteraan utama dan voltan tinggi, manakala Angkasa Consulting Services mengendalikan kerja-kerja struktur sivil, mekanikal serta elektrikal.

​Selain itu, Total Power Solutions dilantik untuk menjalankan kajian sistem kuasa, manakala TNB Research Sdn Bhd (TNBR) mengetuai penilaian impak alam sekitar dan sosial (EIA).

​Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Datuk Ong Thuan Ming berkata, pihaknya yakin terhadap pasaran dan ketersediaan dana bagi projek berkenaan bersandarkan permintaan tinggi daripada sektor pusat data.

​”Projek ini menerima banyak pertanyaan daripada pusat data yang memerlukan jumlah tenaga yang sangat besar. Langkah ini tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan mereka.

​”Dari segi pembiayaan, nilai pelaburan adalah di bawah RM3 bilion dan kami berada di landasan betul untuk menerbitkan sukuk bernilai RM2 bilion dalam masa terdekat,” katanya.

​Tambah Thuan Ming, syarikat itu juga baru sahaja disenaraikan di Bursa Saham Frankfurt dan kini bebas daripada sebarang hutang (zero-debt company), sekali gus membolehkan mereka menerokai pelbagai instrumen kewangan untuk menjayakan projek berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles