KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam bagi menjalani rawatan berkala selepas mengalami keletihan susulan pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, berkata keadaan Dr Mahathir yang kini berusia 101 tahun turut dipengaruhi kekurangan tidur serta keletihan emosi selepas kehilangan insan tersayang.
Katanya, keadaan itu ditambah dengan cuaca panas dan jadual yang padat sejak beberapa hari lalu.
“Beliau keletihan dengan segala turun naik emosi, cuaca panas dan tidak cukup rehat. Semua itu bukan gabungan yang baik untuk seseorang berusia 101 tahun,” katanya ketika dihubungi.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di IJN, sehari selepas pemergian Dr Siti Hasmah yang meninggal dunia pada Isnin lalu pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan dan kemudiannya menabur bakti dalam sektor kesihatan awam negara.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, beliau melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.
Di institusi berkenaan, beliau bertemu Dr Mahathir sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 1956.
Selain dikenali sebagai pendamping Dr Mahathir sepanjang perjalanan hidupnya, Dr Siti Hasmah turut meninggalkan legasi dalam bidang kesihatan, khususnya usaha memperkasakan kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kesejahteraan masyarakat.










