Kekal Saja Di Kajang Jika Gagal Kumpul Derma RM50 Juta – Tony Pua

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, membidas terhadap pihak berkaitan susulan kontroversi Datuk Seri Najib Razak yang berusaha mengumpul derma mencecah RM50 juta bagi tujuan membayar denda yang ditetapkan dalam syarat pengampunan, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan meraih simpati yang tidak wajar.

Dalam hantaran di media sosial, Pua menegaskan bahawa tiada sebarang rasa penyesalan, insaf atau rasa bersalah ditunjukkan berhubung isu kehilangan dana berskala besar yang didakwa melibatkan wang rakyat Malaysia sebelum ini.

“Berhentilah merengek mengenai dakwaan kekurangan derma untuk meraih simpati.

“Tiada rasa insaf, penyesalan atau rasa bersalah daripada Najib berhubung puluhan bilion ringgit yang dicuri daripada rakyat Malaysia biasa,” tegas Pua.

Mengulas lanjut, pemimpin DAP itu turut menyatakan rasa skeptikalnya terhadap dakwaan ketidakupayaan pihak terbabit untuk mencapai sasaran kutipan derma tersebut, selain membuat sindiran keras mengenai kedudukan bekas pemimpin itu ketika ini.

“Jika anda benar-benar tidak mampu mengumpul derma RM50 juta (dan saya percaya anda mampu), rakyat Malaysia amat berbesar hati untuk melihat anda terus kekal di Kajang,” ujarnya lagi.

Semalam, peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan bahawa anak guamnya sememangnya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melunaskan denda RM50 juta berkenaan susulan pembekuan sebahagian besar akaun miliknya, selain menegaskan bahawa Najib sendiri tidak pernah meminta sebarang sumbangan awam bagi tujuan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles