10 Bekas EXCO Negeri Sembilan Dipanggil Beri Keterangan Bukit Aman Esok

SEREMBAN: Sepuluh bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan dijangka dipanggil memberi keterangan kepada polis Bukit Aman esok, susulan kemelut berkaitan adat dan Perlembagaan negeri itu.

Sumber memaklumkan pegawai Bukit Aman akan hadir ke Negeri Sembilan bagi merakam keterangan kesemua bekas EXCO berkenaan, bukannya mereka dipanggil hadir ke ibu pejabat polis di Kuala Lumpur.

“Pegawai dari Bukit Aman akan turun ke Negeri Sembilan esok, bukan EXCO yang pergi ke Bukit Aman.

“Semua barisan EXCO sedia memberikan kerjasama penuh,” katanya.

Bagaimanapun, sumber tidak memperincikan perkara yang menjadi fokus siasatan polis, namun tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kemelut melibatkan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta isu adat dan perlembagaan yang tercetus sejak pertengahan bulan ini.

Perkembangan itu menyusul selepas satu laporan polis dibuat Parti Putra berhubung tindakan barisan EXCO kerajaan negeri yang ketika itu dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, pada 15 September lalu.

Tindakan berkenaan dikaitkan dengan proklamasi yang menyentuh penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Kemelut itu kemudian memasuki fasa baharu apabila Istana Negeri Sembilan pada 20 September mengumumkan pembatalan pelantikan kesemua EXCO terbabit, berkuat kuasa serta-merta.

Pembatalan itu kemudiannya diwartakan dengan menyatakan pelantikan mereka terbatal dan dibatalkan oleh Tuanku Muhriz berkuat kuasa pada tarikh berkenaan kerana didakwa melanggar ikrar taat setia kepada baginda.

Kesemua 10 ahli Exco tersebut terdiri daripada wakil UMNO, iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Datuk Faizal Ramli (Linggi); Datuk Zaiful Bahri Idris (Chembong); Datuk Razi Ali (Sungai Lui); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi terdiri daripada wakil MCA Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada PAS (Serting); serta Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Mereka sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar, kira-kira seminggu sebelum pelantikan mereka dibatalkan.

Kenyataan itu turut mendapat sokongan Ismail Lasim pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, tindakan dan pendirian berkenaan dipertikaikan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Jabatan Peguam Negara, yang masing-masing mempunyai pendirian berhubung kesahihan tindakan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar dan bidang kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles