Menteri Letak Jawatan Tak Perlu Restu PM – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan kontroversi “peletakan jawatan” yang dikaitkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai satu sandiwara politik yang tidak berkesudahan.

Menurut Zaid, tindakan Anthony yang dilaporkan sekadar menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘menyelamatkan’ keadaan dengan menolak peletakan jawatan tersebut hanyalah wayang politik semata-mata.

Beliau menegaskan bahawa dari sudut perundangan, proses peletakan jawatan seorang jemaah menteri adalah jelas di bawah undang-undang tertinggi negara dan tidak memerlukan restu atau penerimaan daripada Perdana Menteri.

“Seorang menteri boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia tidak bergantung kepada penerimaan Perdana Menteri. Jadi, hentikanlah drama ini,” bidas Zaid menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zaid yang juga seorang pengamal undang-undang dan ahli Pas turut menyelar naratif yang cuba dibentuk seolah-olah Perdana Menteri bertindak sebagai ‘penyelamat’ dalam kemelut tiruan terbabit.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia memerlukan paparan berita yang lebih bermakna dan berpijak di bumi nyata, terutamanya menjelang hujung minggu, berbanding dihidangkan dengan polemik politik sedemikian.

BBerkaitan

Latest articles